Nurul Haryani Juhari, mahu membuktikan golongan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran sepertinya juga mampu berdikari seperti insan normal yang lain.

GEMAS – Tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU) pembelajaran tidak dijadikan alasan seorang penghibur seni belon untuk berdikari mencari rezeki dengan kudratnya sendiri.

Malah Nurul Haryani Juhari, 35, mahu membuktikan golongan sepertinya mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding insan normal yang lain.

“Walaupun saya ini OKU bermasalah dalam pembelajaran tapi saya nak buktikan pada masyarakat di luar sana tiada apa yang mustahil dicapai jika berusaha untuk berada setanding orang normal lain.

“Saya selalu pesan pada kawan-kawan senasib, kami sebenarnya boleh buat dengan lebih baik kerana mempunyai keazaman yang tinggi,” katanya ketika ditemui di tapak pasar malam di sini baru-baru ini.

Nurul Haryani Juhari mula menjadikan penghibur seni belon di tapak pasar malam sebagai sumber pendapatan sejak lima tahun lalu dengan kadar bayaran seikhlas hati

Menceritakan pembabitannya sebagai penghibur seni belon, Nurul Haryani berkata, ia bermula lima tahun lalu selepas tertarik melihat rakannya menghasilkan belon yang mempunyai pelbagai bentuk sebagai mata pencarian.

“Sejak itu, perlahan-lahan saya cuba belajar dan selepas mahir saya mula pergi ke tapak-tapak pasar malam dan pasar pagi sehinggalah ia berjaya menjadi sumber pendapatan utama sekitar RM1,200 untuk tempoh 10 hari bekerja.

“Memang mula-mula tu rasa malu, takut tapi saya cuba lawan perasaan itu sehingga ia hilang malah saya turut merakamkan pekerjaan saya itu secara live untuk tujuan promosi selain menghilangkan rasa bosan,” katanya.

Tambahnya, setiap kali memperoleh hasil jualan, dia akan mengasingkan sejumlah kutipan untuk dimasukkan ke dalam tabung-tabung bantuan kucing, masjid dan tahfiz sebagai tanda kesyukuran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast