Bendera Barisan Nasional (BN) dan bendera Pakatan Harapan yang terdapat dibahu jalan raya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.078 Cameron Highland di sekitar perkampungan Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 14 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Gabungan parti yang bertanding dijangka mengekalkan status quo di negeri yang dikuasai sebelum ini.

Selangor dijangka kekal kepada gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dengan menyaksikan Perikatan Nasional (PN) melebarkan pengaruh di negeri terkaya tersebut.

Firma penyelidikan bebas Ilham Centre berkata, prestasi cemerlang pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor memberikan keyakinan terbesar pengundi terhadap PH-BN.

“Selain itu, undi asas yang dimiliki oleh PH terutama dalam kalangan pengundi bukan Melayu, Cina dan India kelihatan menjadi deposit tetap kepada gabungan parti ini. Sokongan bukan Melayu seakan tidak berganjak.

“Kempen agresif PN menakutkan segmen ini dan data kami menunjukkan pengundi bukan Melayu akan keluar tinggi di Selangor.

“PN kelihatan tepu mencari strategi bagaimana ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu. Sekiranya keadaan ini kekal, PN terpaksa melupakan undi Cina dan India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada undi Melayu,” jelasnya.

Rumusan untuk Negeri Sembilan hanya tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku tentangan sengit iaitu Ampangan, Bagan Pinang dan Gemas.

Pulau Pinang lebih tertumpu di DUN majoriti Melayu seperti Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua yang memperlihatkan PN berpotensi untuk menang.

Manakala kerusi DUN Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir, Penanti termasuk dalam kategori sengit antara PN dan BN-PH.

“Kelantan dan Terengganu berkongsi ciri hampir sama. Pas ternyata selesa dan amat berhati-hati dalam berkempen. Pos parti tidak semeriah dahulu dengan aktiviti membuat jamuan
kerana khuatir disabitkan dengan kesalahan pilihan raya,” katanya.

Mengikut data, untuk soalan kerajaan negeri wajar dikekalkan, Kelantan paling rendah dengan hanya 57 peratus bersetuju, Terengganu sebanyak 61 peratus dan Kedah sebanyak 67 peratus.

Bagaimanapun menurut Ilham Centre, keadaan bertukar sebaliknya selepas penamaan calon.

Di pihak BN dan PH, pengundi menyifatkan gabungan itu tidak serius untuk mengambil alih kerajaan.

Ketiadaan tokoh berwibawa terutama di Kelantan menyebabkan pengundi yang mungkin kurang berpuas hati hilang keterujaan untuk mengubah undi mereka kepada gabungan itu.

Kedah berada di kelas tersendiri dengan faktor Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sudah memadai menyekat hasrat BN dan PH untuk merampas negeri tersebut.-MalaysiaGazette