Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) akan terus menekankan sikap mengasihi sesama insan bagi memastikan pembangunan seimbang berlandaskan pesanan Nabi Muhammad SAW.

Datuk Amirudin Shari yang merupakan Pengerusi PH Selangor berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak 2020 telah mengajar pihaknya untuk menilai semula sikap insaniah terhadap maksud kemajuan dan faham pembangunan.

Ketika itu, katanya, rakyat Malaysia khususnya Selangor terpaksa berhadapan dengan cabaran kesihatan yang sengit dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menangani krisis tersebut.

“Benarlah nasihat orang tua-tua kepada kita. Keberkatan itu sangatlah penting. Sikap khianat dan takabur akan menjadi penghalang kepada kita untuk meraih rahmat Allah SWT.

“Tatkala itu, kita seolah a nation at war. Cumanya musuh kita adalah musuh yang tidak kelihatan. Justeru, ia adalah cabaran yang lebih besar iaitu the cognitive challenge of war.

“Peperangan yang kita hadapi itu mempunyai kesan besar terhadap masyarakat. Ia menuntut keupayaan kognitif, keupayaan berfikir dan kefahaman kita untuk membaca kesan langsung dan tidak langsung, dampak serta merta dan juga impak jangka panjang,” katanya dalam Amanat Khas Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Menurut Amirudin, keadaan itu menuntut beliau dan pimpinan Selangor untuk sentiasa tangkas berfikir dan melaksanakan dasar yang future proof demi kebajikan rakyat.

Kini, menurut beliau, majoriti rakyat Malaysia sudah tidak mahu menoleh lagi ke belakang untuk merenungi episod yang menyayat hati itu.

“Kita faham kerana ianya merupakan suatu trauma. Rekod rasmi mencatatkan seramai 37,165 insan yang terkorban akibat pandemik Covid-19.

“Sebagai pemimpin Selangor untuk menghilangkan kesan trauma tersebut, saya terpaksa memberanikan diri sentiasa merenungi kembali episod traumatik itu.

“Apa sahaja teladan dan pelajaran akan saya ambil, cedok serta hadam demi memastikan sekiranya Selangor terpaksa berhadapan semula dengan cabaran sedemikian, kita mampu untuk menanganinya,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, antara perkara besar yang beliau dan pimpinan Selangor berjaya pelajari adalah kecekalan rakyat negeri itu ketika dirundung wabak Covid-19.

Kecekalan rakyat membolehkan kerajaan negeri belayar meninggalkan segala halangan pandemik bagaikan sebuah bahtera dengan layar terkembang, berlayar laju meninggalkan pelabuhan yang serba kalut dan ganas.

Kecekalan itu juga, katanya, dapat dilihat apabila lebih 130,000 keluarga yang terkesan akibat bah besar yang melanda Disember 2021 bangkit kembali untuk membina semula kehidupan mereka.

Walaupun lebih ramai rakyat Selangor terkesan akibat banjir berbanding negeri lain disebabkan jumlah penduduknya tinggi namun rakyat berjaya bangkit dengan lebih pantas jika dibandingkan kawasan lain.

“Rakyat Selangor rakyat bermaruah, rakyat Selangor rakyat berprinsip, rakyat Selangor rakyat yang ada nilai dan akhlak, rakyat Selangorlah nadi kepada kejayaan negeri Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dala pilihan raya negeri (PRN) kali ini, Amirudin mengingatkan rakyat negeri itu esok pengundi di enam negeri akan memilih kerajaan negeri masing-masing.

Ujar beliau, PRN kali ini sangat mustahak kerana ianya menentukan hala tuju kerajaan negeri.

“Pada 31 Julai lalu, saya telah membentangkan Tawaran Kita Selangor, Lima Tekad, Lima Tahun. Ia merupakan suatu komitmen serta iltizam Kerajaan Perpaduan untuk Selangor bagi lima tahun akan datang. Ia juga hadir dari ikhtiar dan fikiran yang mendalam serta murni demi Selangor dan rakyatnya.

“Justeru dengan penuh tawaduk saya memohon rakyat Selangor untuk memberikan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan di negeri ini agar kita boleh meneruskan kestabilan, kecemerlangan dan usaha bakti ini,” katanya. – MalaysiaGazette