Petugas SPR melakukan kerja-kerja persiapan menjelang hari pengundian esok sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Dorani, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 11 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Sehari menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), masih ada pengundi di Selangor masih belum buat keputusan muktamad untuk memilih calon Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Demikian apa yang disuarakan oleh Salmah Idris, 65, kerana melihat majoriti pada kali ini parti-parti yang bertanding mengemukakan calon baharu.

Salmah Idris – Foto WAN NABIL NASIR, 11 OGOS 2023.

Perkara berkenaan menjadikan Salmah masih keliru untuk membuat pilihan kerana baginya keputusan memilih wakil rakyat adalah perkara penting.

Tidak dinafikan untuk memberi peluang kepada calon baharu  satu perkara yang baik namun Salmah bimbang ketiadaan pengalaman akan menyusahkan pengundi kelak.

“Saya belum tahu siapa nak diundi. Kalau boleh pemerintahan untuk rakyat, bagus dan elok.

“Jangan pemerintah bagi harapan sahaja tapi sebaliknya yang berlaku. Tidak tengok parti kalau saya nak mengundi tetapi calon itu sebab calon sekarang banyak calon muka baharu jadi tidak tahu lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, bagi pengundi yang mahu dikenali sebagai Soleh, pengundi berusia 61 tahun itu mengakui masih belum membuat keputusan sama ada akan keluar mengundi atau sebaliknya esok.

Soleh.- Foto WAN NABIL NASIR, 11 OGOS 2023.

Tidak menafikan mengundi adalah tanggungjawab namun beliau mengakui kecewa dengan parti-parti yang bertanding menggunakan cara saling serang menyerang antara satu sama lain sepanjang tempoh berkempen.

Tambah beliau, sepatutnya semua calon yang bertanding menumpukan usaha untuk menaik taraf kehidupan pengundi dan kawasan yang bakal diwakili.

“Tidak tahu nak cakap, keadaan kacau bilau. Sana sini berkempen berceramah kutuk sana kutuk sini, masing-masing tidak tentu hala. Jadi saya masih tidak tahu nak turun mengundi atau tidak. Sedikit kecewa,” akuinya.

Dalam pada itu, seorang wanita yang menetap di Kedah, Nurul Ain Abdul Samad sanggup pulang ke Selangor hari ini untuk menunaikan tanggungjawabnya esok di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga esok.

Nurul Ain Abdul Samad

Katanya, semangat untuk membuat pembaharuan dalam pilihan sebagai rakyat menguatkan dirinya untuk pulang meskipun terpaksa bergegas pulang semula ke Kedah esok untuk memberi peluang suaminya pula mengundi.

“Semangatnya lain sedikit. Kita ingat kerajaan baru ini boleh bantu rakyat puaskan hati rakyat. tidak puas hati semangat untuk mengundi esok,” ujarnya.

Sebagai rekod, BN bertanding di 12 buah kerusi DUN Selangor manakala selebihnya ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH).

Seteru BN-PH pula iaitu Perikatan Nasional (PN) pula bertanding di semua DUN di negeri tersebut.- MalaysiaGazette