Calon Perikatan Nasional (PN) N14 Alor Mengkudu, Mohd Radhi Mat Din mengangkat tangan selepas menang di kawasan bertanding pada ilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. Foto MOHD ADZLAN, 12 OGOS 2023.

ALOR SETAR – Dua bekas pemain bola sepak negara, Baddrol Bakhtiar dan Muhamad Radhi Mat Din melakar sejarah apabila menang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini.

Baddrol yang merupakan bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC menepati ramalan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun dengan memperoleh sebanyak 17,771 undi.

Bekas pemain tengah skuad Harimau Malaya berusia 35 tahun itu mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari yang meraih 11,187 undi.

Mohammed Firdaus merupakan Timbalan Pengarah Strategi PKR Kedah dan anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sebelum dipilih menjadi calon, Baddrol yang merupakan pemain bola sepak profesional menyertai Sabah musim lalu sebelum menamatkan kontrak secara persetujuan bersama pada bulan lalu.

Beliau pernah menabur bakti bersama Kedah selama 16 tahun dan juga pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011 bersama skuad Malaysia B-23.

Kali terakhir Baddrol mewakili skuad negara pada kejohanan Piala Suzuki AFF 2020.

Sementara itu, Muhamad Radhi yang juga merupakan legenda bola sepak Kedah era 90an mengalahkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar di DUN Alor Mengkudu dengan majoriti 10,104 undi.

Muhamad Radhi memperoleh 18,936 undi manakala Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah meraih 8,832 undi.

Muhamad Radhi sebelum ini pernah membuat kemunculan sulung di pentas politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 namun kalah ketika bertanding atas tiket Pas di Parlimen Pokok Sena. – MalaysiaGazette