GEORGE TOWN – Seorang lelaki menjadi tumpuan apabila hadir ke pusat mengundi di Dewan Komuniti Blok 7A Desa Intan di Air Itam, Pulau Pinang hari ini, dengan berpakaian kostum adiwira Hulk.

Ketika ditemu bual, pengundi misteri itu enggan memberitahu nama, butiran peribadi lain dan alasan memakaikan kostum berkenaan.

Terdahulu, lelaki itu tiba kira-kira jam 12.10 tengah hari sebelum memasuki saluran dua untuk mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam.

DUN Air Itam menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Joseph Ng Soon Siang (Pakatan Harapan, penyandang) dan Cheang Chee Gooi (Perikatan Nasional).

Secara keseluruhan, Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN yang akan dipertaruh parti-parti politik dengan beberapa kerusi panas antaranya Bertam dan Bayan Lepas.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pengundian PRN membabitkan enam negeri bakal menyaksikan 9,674,456 pemilih berdaftar mengundi di 3,190 pusat pengundian yang mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran.

Kesemua pusat pengundian di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup pada jam 6 petang.

Pada Selasa lalu, pengundian awal PRN telah berlangsung yang menyaksikan 72,554 anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jumlah peratusan keluar mengundi di Kedah adalah 96.02 peratus, Terengganu (95.91), Selangor (95.87), Pulau Pinang (95.01), Negeri Sembilan (94.05) dan Kelantan (93.90). – MalaysiaGazette