Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR- Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini sangat rendah.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyeru semua pengundi yang layak untuk keluar mengundi.

Katanya, pimpinan parti itu mengarahkan dan menyeru semua ahli serta penyokong parti di bawah gabungan Perikatan Nasional untuk keluar mengundi dengan segera.

“Setiap undi anda adalah penting dan dikira. Ini bukan masanya untuk menunjukkan protes terhadap proses pilihan raya atau cubaan merosakkan undi kerana kita tidak seharusnya membiarkan keadaan sekarang berterusan.

“Dengan tidak memilih pihak mana yang hendak disokong atau dengan tidak mengundi, secara tidak langsung kita telah menidakkan hak kita sebagai rakyat Malaysia.

“Keluar dan pangkahlah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat jam 2 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan Kelantan kekal sebagai negeri terendah dari segi peratusan keluar mengundi iaitu sebanyak 45 peratus.

Bagaimanapun dua lagi negeri milik Pas dan PN iaitu Kedah dan Terengganu mencatatkan peratusan tertinggi dengan masing-masing 56 peratus.

Pulau Pinang merekodkan 53 peratus keluar mengundi diikuti Selangor (51 peratus) dan Negeri Sembilan (49 peratus).

Manakala pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu mencatatkan peratusan mengundi sebanyak 52 peratus.- MalaysiaGazette