Datuk Mazli Mazlan

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes  kematian pemandu teksi di tempat duduk belakang kereta sewanya di Seberang, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, bagaimanapun soal siasat masih belum dilakukan berikutan keadaan suspek yang berusia 29 tahun masih lemah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Suspek mengalami kecederaan akibat tikaman tajam dekat dengan kawasan paru-paru dan ada juga luka lain di badan.

“Ketika ini suspek masih diletakkan di bawah penjagaan dan rawatan pihak hospital dan pihak polis masih belum dapat menjalankan siasatan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Mazli berkata, punca kematian mangsa dan kecederaan suspek masih belum dapat dikenal pasti.

Pada Jumaat, MalaysiaGazette melaporkan mangsa Mohd Latif Idris, 51, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran dalam dalam teksinya dan polis menemukan sebilah pisau yang dipercayai senjata yang digunakan dalam insiden itu.

Mangsa meninggalkan balu, Noor Azlina Ramli, 41 serta dua orang anak iaitu Muhammad Nasha Fikri, 20 dan Eliy Syazwani, 16.

Jenazah Allahyarham Mohd Latif selamat dikebumikan di Tanahr Perkuburan Islam Kubang Parit pada petang semalam.

Kes pembunuhan itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette