Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet menunjukkan jari sebagai tanda selesai mengundi di SMK Seri Keramat, Ampang hari ini.

AMPANG – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad  mengakui letih selepas dua minggu berkempen.

Penyanyi rap yang lebih dikenali sebagai Altimet itu menjelaskan, beliau akan bercuti selama satu hari untuk berehat selepas proses pengundian selesai.

“Terus terang saya penat, selepas ini saya mahu ambil cuti satu hari untuk tidur,” katanya ketika ditemui jam 8.30 pagi selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat keluar mengundi kerana ia penentu masa depan sesebuah negeri.

“Masih awal lagi, kita perlukan seramai mungkin untuk keluar mengundi. Ini kuasa, hak dan keistimewaan kita. Saya yakin orang Selangor rasional untuk keluar mengundi,” ujarnya.

Pada 22 Julai lalu, Altimet menjadi satu-satunya selebriti yang diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam PRN15.

Altimet berentap dengan calon Perikatan Nasional, Sharifah Haslizah Syed Ariffin bagi merebut kerusi DUN Lembah Jaya dalam persaingan satu lawan satu. – MalaysiaGazette