Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto WAN NABIL NASIR, 12 OGOS 2023.

HULU KLANG- Polis telah membuka 131 kertas siasatan di seluruh negara berkaitan pelbagai kesalahan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 27 kertas siasatan melibatkan Selangor.

“Sepanjang tempoh selepas penamana calon ini, tiada satu pun laporan berkaitan dengan isu 3R (Agama, Kaum dan Institusi Diraja) tetapi yang ada hanyalah kes- kes berkaitan dengan khianat.

“Kebanyakkan kes perbuatan khianat direkodkan dengan merosakkan poster kedua- dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) serta ‘flash mob’ tanpa permit polis, “ katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan menambah menerusi tinjauannya setakat hari ini, proses pengundian berjalan lancar dan tiafa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Beliau juga memaklumkan seramai 35,000 anggota polis dikerah bagi penugasan PRN di enam negeri.

Katanya, untuk Selangor sahaja merekodkan seramai 5,526 anggota polis ditugaskan.

Ayob Khan turut menasihati semua pihak agar bersikap matang dan tidak melakukan provokasi.

Tegasnya, pihaknya tidak teragak – agak untuk mengenakan tindakan tanpa mengira parti jika berlaku pelanggaran undang-undang.

Sehingga jam 12 tengahari, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, peratusan keluar mengundi di Selangor adalah sebanyak 36 peratus. – MalaysiaGazette