Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berucap selepas keputusan kemenangan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. Foto MOHD ADZLAN, 12 OGOS 2023.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap tiada lagi tuduhan ke atas kerajaan negeri itu selepas menang bergaya memenangi 33  daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) malam tadi.

Beliau yang Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) berkata, kejayaan besar membuktikan parti gabungan itu menjadi kerajaan negeri dengan cara yang betul dan berlandaskan undang-undang serta menjadi pilihan pengundi.

“Dakwaan bahawa kerajaan yang bertukar pada 17 Mei 2020 itu adalah kerajaan tebuk atap dan hari ini telah terbukti sebenarnya kita masuk pintu depan dengan pintu terbuka dengan lebih luas.

“Saya harap semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang menang akan menunaikan tanggungjawab masing-masing dan janji. Ketepikan, jauhi semua amalan negatif yang menjadi kebencian rakyat kita dan mesti positif untuk pacu kedah ke mercu yang lebih hebat pada masa depan,” katanya pada sidang awal pagi ini.

Pada Mei 2020, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pembangkang DUN Kedah ketika itu berkata, sebanyak 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada Pas, Bersatu (empat) dan masing-masing dua daripada UMNO dan bebas yang juga bekas ADUN PKR.

Beliau berkata, kesemua mereka hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa mentadbir negeri.

Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berucap selepas keputusan kemenangan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. Foto MOHD ADZLAN, 12 OGOS 2023.

Malam tadi, PN mengekalkan penguasaannya di Kedah apabila memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN pada PRN kali ini.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan PN yang ditunjangi Pas bersama Bersatu dan Gerakan terus menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Jumlah kemenangan yang diperoleh PN itu lebih besar berbanding kedudukan sebelum ini iaitu Pas 15 kerusi dan Bersatu enam kerusi sementara Pakatan Harapan (PH) hanya menang di Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam.

Barisan Nasional (BN) pula hilang tiga kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu DUN Sungai Tiang, DUN Guar Chempedak dan DUN Bandar Baharu apabila tewas di kesemua 15 kerusi yang ditandingi.

Muhammad Sanusui yang juga Pengerusi PN Kedah berjaya mempertahankan DUN Jeneri dengan majoriti 16,050 undi menewaskan calon muka baharu BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik. – MalaysiaGazette