Wan Salim.

GEORGE TOWN – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu jelas menggambarkan dua pola pemikiran berbeza telah mempengaruhi minda pengundi khususnya yang beragama Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia susulan pengundi di negeri Kelantan, Trengganu dan Kedah menunjukkan kecenderungan memilih Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Pas dan Bersatu manakala Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula lebih memihak kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, pola pemikiran itu menunjukkan PN khususnya Pas lebih cenderung dengan matlamat menegakkan Islam manakala gabungan PH-BN pula, dilihat lebih terbuka dan bersikap inklusif kepada realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Kata beliau, pertentangan antara kedua-dua aliran fikiran ini sepatutnya boleh dikendurkan atau diminimumkan jika umat Islam mendapat kefahaman yang betul terhadap maksud beragama atau peribadatan dengan perkembangan dunia moden.

“Ini susulan keyakinan beragama tidak sama sekali menghalang manusia mencapai kemajuan dan membina sebuah negara moden berasaskan sains dan teknologi.

“Sebaliknya pembinaan kehidupan yang maju dan makmur adalah merupakan antara maksud peribadatan itu sendiri yang dituntut di dalam Islam dan itulah ajaran asal Islam yang sebenarnya.

“Malangnya masih ramai manusia pada masa kini beranggapan kemajuan dan kemodenan adalah sesuatu yang bercanggah dengan kehidupan beragama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Wan Salim, hakikat kehidupan beragama dan pembinaan tamadun saling berkaitan antara satu sama lain.

“Kajian tentang tamadun-tamadun besar zaman silam seperti Tamadun Mesir, Tamadun Cina, Tamadun India dan Tamadun Islam menunjukkan bahawa agama dan kemajuan adalah saling lengkap melengkapi dalam membangun kehidupan yang maju dan sejahtera bagi rakyat jelata.

“Konflik antara agama dan kemajuan hanya berlaku dalam sejarah Eropah pada abad-abad pertengahan dahulu disebabkan oleh kesilapan Gereja menentang ilmu (sains) dan memihak kepada kaum Feudal yang menindas golongan marhain.

“Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak, sama ada pimpinan politik, ahli akademik dan pertubuhan-pertubuhan dakwah untuk membuka dimensi fikiran masyarakat awam serta menyingkirkan salah faham mereka tentang pertentangan antara pegangan teguh kepada agama dan usaha membangun Masyarakat Madani serta moden,” ujar beliau.

Tambah beliau, masyarakat perlu diberi pencerahan secukupnya mengenai tujuan segala ajaran agama yang sebenar adalah untuk memandu manusia ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

“Kehidupan berpandukan agama yang sebenar akan membawa kepada kemajuan dan kebajikan.

“Agama yang sebenar tidak menolak tamadun dan tamadun yang hakiki tidak menolak agama, kedua-dua elemen ini memainkan peranan yang saling melengkapi untuk membahagiakan kehidupan manusia dan untuk kepentingannya,” kata Wan Salim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast