Poster palsu yang disebarkan di media sosial

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menggesa supaya politik fitnah dan adu domba dihentikan.

Ia berikutan penyebaran satu poster kononnya beliau berkata, jika Negeri Sembilan tidak diterajui oleh Barisan Nasional (BN) beliau tidak teragak-agak buat keputusan “besar”.

Pengerusi BN Perak itu berkata, semua pihak perlu bekerja untuk rakyat kerana pilihan raya telah tamat.

“Saya diberitahu, kenyataan palsu ini sedang disebarkan di media sosial. Saya tidak pernah keluarkan kenyataan sedemikian.

“Nasihat saya, hentikanlah politik fitnah dan adu domba begini. Pilihan raya umum dan negeri sudah selesai, wakil rakyat sudah dipilih.

“Ini masa untuk kita bekerja untuk rakyat, hentikanlah politik fitnah yang tidak menguntungkan apa-apa kepada rakyat dan negara,” tegasnya.

Dalam poster yang disebarkan itu, Saarani difitnah sebagai berkata, perpaduan harus disokong dengan keadilan dan Negeri Sembilan menyaksikan BN memenangi kerusi paling banyak.

Datuk Seri Aminuddin Harun yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mendapat perkenan untuk sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Aminuddin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Dalam PRN yang berlangsung pada Sabtu, BN memenangi 14 kerusi di Negeri Sembilan, DAP (11) PKR (5) dan Amanah (1).-MalaysiaGazette