kredit: FB Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mana-mana individu yang menzalimi kanak-kanak, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau turut meluahkan perasaan sedih atas kes kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu dan rakannya di Pasir Gudang, pada Jumaat lepas.

Katanya, kes penderaan kanak-kanak boleh disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, atau dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Luluh hati saya melihat keadaan adik Iman, kanak-kanak yang terlibat dalam kes penderaan baru-baru ini.

“Adik Iman telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan sedang menjalani rawatan. Saya dimaklumkan adik Iman akan dijaga oleh datuknya selepas discaj dari hospital nanti,” kata Onn Hafiz menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada orang awam dan komuniti setempat yang peka dengan keadaan sekeliling serta terus melaporkan kes berkenaan ke talian kecemasan.

“Terima kasih dan tahniah juga saya ucapkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On, Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Pasukan Pelindung Kanak-Kanak, Polis DiRaja Malaysia serta semua pihak yang pantas bertindak bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut,” katanya.

Sabtu lepas, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilapor berkata ibu mangsa berusia 27 tahun dan rakan perempuannya warga asing berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak itu.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah, dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya. – BERNAMA