KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menjadi sedikit emosi dan marah apabila ada dakwaan yang suami dan ahli keluarganya menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Keadaan menjadi sedikit tegang apabila peguam yang mengetuai pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sesi soal jawab bertanyakan tentang maklumat dikemukakan oleh risikan Singapura berhubung dakwaan itu.
Malah Zeti pula menuntut Muhamad Shafee pula menunjukkan bukti berhubung dakwaan tersebut.
Dalam keadaan agak tegang, Zeti berkata, Muhammad Shafee boleh terus mengasaknya sehingga ‘muka biru’ namun beliau tetapi tidak tahu menahu dan mempunyai pengetahuan tentang perkara berkaitan syarikat suami dan anaknya.
Bagaimanapun Muhammad Shafee tampil dengan akuan bersumpah (SD) suami Zeti, Datuk Dr Tawfiq Ayman yang menyatakan dirinya telah melucutkan hak terhadap sejumlah wang dalam syarikat Cutting Edge Industries Ltd yang perlu dipulangkan kepada 1MDB.
Dakwa Zeti, beliau langsung tidak tahu menahu tentang mengetahui mengenai perkara itu serta mendakwa suaminya ada memiliki syarikat pengurusan aset yang menerima wang daripada pelabur di luar negara.
Namun walaupun diasak beberapa kali termasuklah bukti SD, Zeti tetap mengatakan dirinya tidak tahu langsung tentang akaun syarikat atau siapa pelaburnya.
Zeti: Saya tidak tahu. Tunjukkan saya bukti, tunjuk bukti aliran keluar wang 1MDB dalam syarikat itu (suara tinggi).
Shafee: Adakah anda kata ahli keluarga tidak pernah menerima wang 1MDB? Adakah anda membuat kenyataan tanpa mengetahui mengenai SD ini?
Zeti: Inilah kali pertama tengok SD ini. Ini tidak menyatakan bahawa suami saya ada terima wang 1MDB, ini tentang wang dipulangkan kepada pihak berkuasa.
Muhammad Shafee terus mengasak dan Zeti terus menafikan sehingga menyebabkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah masuk campur dan meredakan ketegangan itu.
Zeti: Saya katakan saya tidak mengetahu mengenai SD ini.
Dalam pada itu, Zeti turut mendakwa suaminya telah menulis surat kepada pihak berkuasa Singapura tentang transaksi meragukan berhubung sejumlah wang yang didepositkan ke akaun syarikat oleh satu pelabur.
Dakwa Zeti, suaminya telah meminta bank Singapura untuk memulangkan kembali wang yang meragukan itu kepada pelabur terbabit.
Muhammad Shafee: Boleh anda tunjukkan kepada saya surat itu?
Zeti: Tidak, surat itu masih dalam siasatan PDRM.
Hari ini prosiding membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berdepan penyewelengan dana 1MDB berjumlah RM2.3bilion. – MalaysiaGazette