Bekas Gabenor Bank Negara ,Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hadir ke mahkamah sebgai saksi perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 14 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Prosiding 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) agak tegang hari ini apabila saksinya, bekas Gabenor Bank Negara (BNM) yang diasak oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Bagaimanapun Zeti berterusan menafikan semua yang dicadangkan oleh peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

Apabila Muhammad Shafee Abdullah mengasak tentang objektif penubuhan pasukan petugas khas pada 2015 adalah lebih kepada untuk menjatuhkan anak guamnya ketika itu, Zeti menafikannya.

Untuk makluman, selain Zeti, pasukan petugas khas itu juga terdiri daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dakwa Zeti, ketika itu, langsung tidak ada apa-apa petunjuk yang membuktikan apa-apa transaksi berkaitan dengan Najib dan 1MDB serta mendakwa dirinya tidak maklum SPRM secara diam-diam menyiasat mengenai bekas Presiden UMNO itu.

“Ketika itu, tugas dan tanggungjawab pasukan khas itu ialah menyiasat 1MDB dan hutangnya. Jika 1MDB gagal bayar hutang, implikasinya sungguh besar untuk negara. Bukan sahaja kita tetapi juga anak dan cucu,” katanya ketika soal jawab di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Ketika ditanya tentang mengenai penglibatannya dalam Majlis Penasihat Negara yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mei 2018 buat kali kedua, Zeti sekali lagi menafikan penubuhan majlis terbabit berkaitan dengan 1MDB.

Dakwa Zeti, penubuhan itu lebih kepada hala tuju ekonomi dan kewangan negara malah beliau turut melontarkan persoalan mengapa perlu melantik figura korporat seperti Tan Sri Robert Kuok jika ianya bertujuan menyiasat 1MD atau Najib.

“Seingat saya, selama 100 hari hadir mesyuarat Majlis Penasihat Negara, kami tidak bangkitkan atau bincang isu 1MDB,” tegasnya.

Bagaimanapun ketika itu, Muhammad kemudian memetik kenyataan oleh Dr Mahathir yang mendakwa beliau tidak akan melantik Zeti ke Majlis Penasihat jika mengetahui tentang keluarganya yang ‘mungkin’ terlibat dengan skandal 1MDB.

Namun ketika itu, Collin mencelah dan mengingatkan Muhammad Shafee bahawa soalan itu bukan untuk saksi menjawabnya sebaliknya ditanyakan kepada Dr Mahathir itu sendiri.

Prosiding akan bersambung esok.

Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas dakwaan menyeleweng dana SRC International RM42juta juga sedang berdepan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang melibatkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast