KOTA BHARU – Teka-teki mengenai siapakah Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang baharu terjawab sudah selepas kedua-dua yang dilantik mengangkat sumpah jawatan itu hari ini.

Dalam majlis yang berlangsung di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian, di sini , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar petang ini.

Sementara itu, ADUN Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Perlantikan Mohd Nassuruddin menyaksikan beliau secara rasmi menggantikan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang memegang jawatan Menteri Besar sejak 6 Mei 2013.

Sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri sejak 2013.

Mohd Nassuruddin merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti selama tujuh penggal selepas memenanginya dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan (PRU9) pada 1995.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas, Mohd Nassuruddin yang juga Ketua Penerangan Pas Kelantan berjaya mempertahankan DUN Meranti dalam pertandingan satu lawan satu setelah mengalahkan Zahri Omar dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 9,154 undi.

Mohd Nassuruddin, yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir mendirikan rumah tangga dengan Datin Wan Norhanita Wan Yaakob dan dikurniakan lima cahaya mata.

Pas dan rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri di Kelantan apabila menang 43 daripada 45 kerusi DUN dalam PRN Sabtu lepas.

Sementara itu, Mohamed Fadzli sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri dan mula berkhidmat sebagai ADUN Temangan sejak menang pada PRU12.

Dilahirkan di Machang, Mohamed Fadzli adalah bekas Penolong Profesor Fakulti Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah, Pusat Undang-undang Harun Mahmud Hashim di universiti sama.

Selain Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar, seramai sembilan ADUN turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan pada istiadat hari ini terdiri daripada lapan ADUN PAS dan seorang Bersatu.

Sembilan ADUN berkenaan adalah Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (Kemahang), Datuk Dr Izani Husin (Kijang), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Selising), Wan Roslan Wan Hamat (Pengkalan Kubor), Rohani Ibrahim (Tanjong Mas), Mohd Asri Mat Daud (Demit), Zamakhshari Muhamad (Apam Putra), Hilmi Abdullah (Guchil) dan Datuk Kamarudin Md Nor (Air Lanas). – Bernama