Misbun Sidek. Foto FB

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek, secara rasmi meninggalkan badan induk sukan itu.

BAM menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosial memaklumkan, satu kata sepakat telah dicapai antara kedua-dua belah pihak, dan menganggap kes itu kini selesai.

“BAM menganggap kes ini tamat dan kini menumpukan kepada persediaan kepada Kejohanan Remaja Dunia 2023 yang akan datang,” menurut kenyataan BAM hari ini.

Kejohanan itu dijadual berlangsung di Washington, Amerika Syarikat (AS) 25 Sept hingga 8 Okt ini.

Misbun pada 9 Ogos lepas, dilaporkan sudah menghantar surat jawapan berhubung tawaran diberikan BAM, dalam usaha memujuknya kembali susulan penamatan kontrak selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM, pada bulan lepas.

Sebelum ini, BAM menerusi Jawatankuasa Khas diketuai Timbalan Presiden Datuk V. Subramaniam, membuat keputusan menamatkan kontrak Misbun berikutan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia 2023 di Yogyakarta, Indonesia, bulan lepas.

Misbun meninggalkan BAM buat kali pertama pada 2011 sebelum menyertai semula BAM untuk kali kedua pada 2017, sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki Kebangsaan.

Pada 2020 beliau dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan, diikuti sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM tahun lepas. – Bernama