Abdul Aziz Abdul Rahman dan Tuan Kamarul A Muhamed selepas berbicara tentang Teknologi Dron dalam Wacana Ilmu anjuran UMPSA hari ini.

PEKAN – Seramai 100 orang warga universiti yang terdiri dalam kalangan penyelidik dan pelajar menyertai wacana ilmu berkaitan teknologi dron di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini.

Wacana bertajuk ‘Teknologi Dron di Malaysia: Bersediakah Kita? anjuran UMPSA bersama Jabatan Penyelidikan dan Inovasi itu merupakan langkah proaktif mendalami pengetahuan mengenai horizon baharu teknologi dron terhadap sektor pembangunan ekonomi.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kepentingan mendalami perspektif baharu mengenai teknologi dron khususnya kepada golongan penyelidik  relevan untuk diaplikasi dalam kajian dan penyelidikan mereka.

”Usaha ini adalah seiring dengan kepesatan penggunaan dron dalam pelbagai industri terutama dalam bidang pertanian, media kreatif dan lain-lain aplikasi serta data analitik pada masa ini.

“Selain itu, dengan kepakaran yang ada, UMPSA akan mengadaptasi penggunaan teknologi dron ini termasuklah bekerjasama dengan industri sekitar Gebeng bagi meningkatkan kebolehcapaian terhadap menyediakan penyelesaian komersial seperti sektor pertanian, pembinaan, infrastruktur, telekomunikasi, perlombongan dan banyak lagi.

“Selain itu, sinergi antara kedua-dua pihak ini akan membolehkan universiti memainkan peranan dalam memanfaatkan teknologi untuk masyarakat seiring dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 bagi membangunkan penyelesaian yang paling inovatif serta berkesan,” katanya ketika berucap dalam wacana yang sama di sini hari ini.

Turut diadakan sesi perbincangan dalam menerokai ruang kerjasama bagi mendalami ilmu baharu dan memartabatkan industri teknologi itu di Malaysia dengan melahirkan lebih ramai juruteknik mahir dalam bidang teknologi dron. – MalaysiaGazette