Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap pada sidang media pasca PRN15 di Pejabat Putra, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 14 OGOS 2023.

DALAM siri pertama semalam, Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap berkisar UMNO dan pimpinannya ketika di kemuncak dan di era kejatuhan parti itu.

Kali ini, dalam siri kedua, beliau lebih banyak mengupas mengenai kemerosotan bilangan kerusi milik gabungan Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) dan apakah masa depan parti ini.

MG: Kita semua tahu keputusan PRN Sabtu lalu menyaksikan PH-BN hilang banyak kerusi walaupun kedudukan negeri ditadbirnya sebelum ini tidak terjejas. Apa pandangan Datuk?

IBRAHIM: Kekalahan PH-BN kira teruklah sangat walaupun tidak hilang Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, tetapi dari segi peratusan pengundinya agak merosot. Macam mana parti Bersatu yang tidak ada apa-apa boleh menang 22 kerusi hingga orang fikir kemungkinan Selangor akan jatuh kepada PN.

Bagaimanapun, pendapat awal saya, Selangor tak akan jatuh kepada PN. Saya sudah buat ramalan ini awal lagi dan saya kata PKR tetap memerintah Selangor dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri ke-10. Faktor gabungan pusat dengan negeri ini tidak mudah untuk PH jatuh.

Tetapi kita juga perlu tengok macam mana PN boleh menang 22 kerusi? Ini perkara yang paling pokok, yang perlu kit acari jawapannya. Kenapa PH yang sebelum ini menang 52 kerusi, pada PRN Sabtu lalu hanya dapat pertahankan 34 kerusi.

Kita tengok, apa komen dan ulasan penganalisis politik. Seratus peratus menyalahkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Tapi, dalam konteks pandangan saya agak berbeza. Pada saya, kemerosotan kerusi atau sokongan terhadap PH-BN ialah faktor Anwar. Dia selaku Perdana Menteri dan Pengerusi PH juga menyumbang kepada kekalahan teruk PH-BN ini.

Ada yang tanya kenapa dengan Anwar? Saya nak beritahu, saya mengenali Anwar sudah lama. Memang semua orang tahu 40 tahun dulu kami sama-sama dalam Kem Tahanan Kamunting dan saya dari dulu lagi memang menganggapnya idola, sehinggalah di separuh jalan ketika bersamanya, saya tinggalkan dia. Itu semua orang tahu.

Dan bila dia dapat jadi Perdana Menteri ke-10 (PMX), mungkinlah ada kesan psikologi pada dirinya, sebab dia lama melalui jalan sukar sehingga masuk penjara dan macam-macam ujian hingga tidak ada orang terfikir dia boleh jadi perdana menteri.

Sampai ada orang kata (berbazar), kalau Anwar jadi perdana menteri, mereka nak potong telinga, nak potong tangan dan nak potong lidah. Begitu sekali keyakinan sesetengah orang bahawa Anwar tak boleh jadi perdana menteri sebab partiya tidak menang besar. Dia dan partinya dilihat kuat pun kerana sokongan DAP.

Dengan begitu lamanya dia menunggu dan melalui 1001 dugaan, bila dia boleh jadi perdana menteri tentu dia excited dan teruja. Ditambah dengan kepandaiannya bercakap, berpidato maka dia lupa kawal diri.

MG: Lupa diri macam mana maksud Datuk?

IBRAHIM: Sebagai pemimpin, bila berada di kemuncak harus mempamerkan diri dan sifat sebagai seorang negarawan. Kena kawal gaya percakapan, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pula biar berhemah supaya tidak ada yang rasa tersinggung. Itu sepatutnya ada pada seorang pemimpin nombor satu kerajaan. Tapi dia lupa.

Saya dulu dituduh rasis, ekstremis dan gedebe, tapi bila Dr. Mahathir lantik saya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri jaga hal ehwal undang-undang walaupun saya bukan belajar undang-undang, saya tukar saya pinya gaya atau stail.

Dalam tempoh dua tahun jadi timbalan menteri, saya tidak berdepan apa-apa masalah dengan gaya begitu. Lepas habis tempoh timbalan menteri, saya balik ke gelanggang politik sebagai orang biasa. Saya mula balik watak saya macam dulu. Itu biasalah dalam politik.

Sebab bila anda sudah berada di atas, (perwatakan) anda harus diubah. Tapi, ini kesilapan Anwar paling besar, di mana hari-hari dia berucap ketika berjawatan perdana menteri, dia menyerang, menyergah, henjut dan bantal pihak lawannya. Ini berlaku pada dirinya. Kalau orang lain tak apalah, biasa saja.

Anwar juga lupa sebelum jadi perdana menteri, dia janji hari ini menang, esok minyak turun. Janji nak selesaikan harga minyak dalam masa 24 jam. Sebelum jadi perdana menteri nak seronok bolehlah bercakap, tapi hakikatnya nak turunkan minyak ini bukan mudah walaupun ada niat (nak turunkan harga). Mungkin ambil masa yang panjang kerana banyak benda nak kena buat.

Tapi, bila dia dah jadi perdana menteri, bila rakyat ungkit, ini tak jawab dengan betul. Dia biarkan begitu. Bahkan, banyak lagi janji lain yang dia tabur, tapi bila dah jadi perdana menteri, dia mula provokasi orang, serang orang.

Jadi, semua keburukan dan janji dia dulu orang bongkar semula termasuk isu peribadinya. Dulu rakyat dah lupa dengan rakaman video Nalakurapan, video papa gomo, tapi dalam kempen PRN baru ini musuhnya guna habis-habisan. Sebabnya apa? Sebab dia lupa, bila kita baling batu ke arah orang, orang akan baling batu semula ke arah kita.

Saya jangkakan selepas dia jadi perdana menteri, dia mengambil pendekatan mengelak daripada orang eksploit isu lama dia dan dibantai.

MG: Jadi apa kaitan Anwar dengan keputusan PRN baru-baru ini?

IBRAHIM: Saya tengok Anwar ini sepanjang kempen PRN, dia seakan beri bola tanggung kepada musuhnya PN. Begitu mudah sekali PN serang dia. Contohnya, dia cakap menentang rasuah, tapi dia lantik Zahid Hamidi pegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sampai sekarang isu ini digunakan pihak lawan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini pun Anwar kata seorang perdana menteri tidak boleh menjadi Menteri Kewangan. Sekarang, tengok, apa jadi pada dia? Dialah perdana menteri, dialah Menteri Kewangan, bubar Kementerian Wilayah, tapi portfolio itu dia yang pegang. Lantik anak (Nurul Izzah) sebagai penasihat, lepas itu lantik isteri (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) di pejabat Wilayah Persekutuan. Betul-betul dia amalkan nepotism. Ini jelas, dia tak boleh nafi.

Percakapan dia juga semuanya menjadi bola tanggung kepada PN dan musuh. Dia cakap soal tata kelola. Tata kelola yang macam mana dia maksudkan? Saya sendiri pun nak sebut tata kelola pun tak pandai, tapi dia hari-hari cakap soal tata kelola. Bila dia guna helikopter kerajaan pergi berkempen dalam PRN baru-baru ini, orang tanya dan persoalkan, dia boleh sergah pula pada orang yang tanya.. apa dengki?

Ini yang saya kata bola tanggung. Satu lagi contoh bola tanggung. Dia serang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Sebenarnya siapa Sanusi yang tiba-tiba dalam masa sebulan seolah dinobat sebagai hero? Siapa yang nobat? Anwar dengan anak-anak buahnya yang nobat dengan serang Sanusi.

Dan cara Sanusi menjawab pula bukan memperlihatkan dia ini seorang yang intelektual. Sanusi hanya cakap ikut keluar mulut saja, percakapan orang kampung yang ditutur secara bersahaja, dengan senyum dan ketawa.

Anwar pula bila kena sebiji dengan jawapan Sanusi, sudah naik angin. Ini yang menyebabkan kekalahan teruk kepada PH-BN.

UMNO pula kalah kerana isu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Akar umbi UMNO/BN serta orang Melayu tolak Zahid kerana rasuah, kerana UMNO bergabung dengan DAP yang dulu lantang menyebut “No Anwar, No DAP”. Itu jelas, sebab itu UMNO kalah habis.

Kalau parti Bersatu meletakkan calon yang dilihat hebat di Selangor baru-baru ini, tidak mustahil PN boleh menawan Selangor. Tapi, saya tengok calon PN hari tu macam calon tangkap muat saja. Kelemahan Bersatu ialah mereka tidak ramai penceramah handal dan ada isu dalaman.

MG: Dalam konteks UMNO/BN, Datuk lihat ada kemungkinan atau tidak parti ini meneruskan kesinambungan perjuangannya seperti dahulu?

IBRAHIM: Saya tidak tahu, pada saya UMNO bukan isu tetapi ada orang kata, kalau Zahid Hamidi letak jawatan UMNO akan pulih. Mungkin betul, mungkin tak betul kata-kata ini. Namun, secara keseluruhannya saya tengok, orang Melayu sudah menolak UMNO.

Dahulu orang tidak suka kepada Datuk Seri Najib Razak kerana terpalit dengan isu 1MDB maka mereka tolak UMNO dan ada pilihan parti alternatif seperti Pas dan Bersatu.

Putra pula ketika itu belum bersedia. Siapalah saya selain daripada semangat perjuangan. Namun saya rasa syukur kerana tidak terpalit dengan apa-apa isu, tetapi keupayaan saya terhad.

Kalau tidak Putra boleh bagi saingan. Doalah PRU-16 nanti saya panjang umur, diberi kesihatan kita tengok macam mana. Ahli Putra sekarang pun sudah cecah 75,000 yang membayar yuran.

Bahagian Putra pun sudah ada lebih 70. Jangan sesiapa memperlekehkan Putra. tengok parti yang ditubuh dulu pada awalnya, mana ada sokongan.

MG: Benarkah kalau Ahmad Zahid letak jawatan UMNO akan pulih?

IBRAHIM: Pada saya Zahid kena berhenti. Dia kena tahu, UMNO ini kalau umpama pesakit kanser sudah tahap 4. Kalau dia letak jawatan, mungkinlah turun kepada tahap 3. Tapi nak pulih sepenuhnya tidak mungkin dah. Sangat mustahil kerana UMNO sudah ditolak dari segi nama parti itu sendiri.

Bila UMNO sudah terlalu lama, ia automatik menjadi lemah, semangat perjuangan nasionalisme Melayunya sudah terbantut.

Sebab itu, saya buat keputusan dengan rakan-rakan tubuh Putra sebagai parti alternatif untuk meneruskan perjuangan nasionalisme Melayu Islam. Itu sebenarnya tetapi kita baru lagi.

Kedudukan UMNO dan Anwar ini saya rasa bolehlah bertahan untuk tempoh lima tahun lagi tapi bila sampai tempoh ini, kalau dasarnya tidak berubah ia akan ditolak oleh rakyat sebab majoritinya negara ini orang Melayu.

Profesor Chin dari sebuah universiti luar negara selalu keluar kenyataan mengenai politik Malaysia. Ia mengatakan memanglah keputusan baru-baru ini jelas polarisasi kaum dan kalau PH hendak menang, Anwar perlu pindah dasar ke kanan sedikit iaitu bercakap mengenai agenda orang Melayu dan ambil hati orang Melayu.

Sebab DAP, Anwar buat apa sekali pun mereka tetap sokong. DAP tidak akan terkedu atau terperanjat kalau Anwar kata sokong Melayu, bumi Malaysia adalah Melayu punya. Saya percaya DAP tidak akan sensitif, sebab DAP adalah parti yang lebih menumpukan kepada hasil perjuangan retorik.

Anwar selaku perdana menteri pun bergantung kepada DAP. Apa sahaja yang DAP minta mungkin mereka dapat cara senyap-senyap. Yang bising ini jenis orang Melayu, belum dapat projek sudah bising kata dapat projek. Projek RM2 juta beritahu RM100 juta, hendak tunjuk hebat dan megah. Ini perangai Melayu. Perangai orang Cina tidak seperti itu. Mereka senyap-senyap.

Pandangan saya mungkin ada benar Profesor Chin ini cakap, tetapi boleh atau tidak mempengaruhi orang Melayu? Kerana imej yang Anwar buat terhadap dirinya sendiri? Kalau tengok susah nak baiki dari segi mindset rakyat. Sebab pada rakyat dan orang Melayu anggap Anwar ini sudah tidak boleh diharap.

Sebab itu, politik di Malaysia ini kerusi orang Melayu untuk UMNO susah nak naik balik. Rakyat sudah tolak.

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali .

MG: Selepas lebih 25 tahun Anwar dipecat dari UMNO dan berdepan dengan pelbagai tuduhan sehingga dipenjara, namun kecekalannya dalam perjuangan telah mengembalikan nasib kepadanya apabila berjaya dia bukan PM tepi.

IBRAHIM: Ya, Anwar memang bernasib baik. Selepas teruk kena (dicantas) sebelum ini, dia naik jadi PM. Semua orang tidak terfikir terutama ketika orang lain yang jatuh tidak naik-naik.

Tengok Tun Dr Mahathir (Mohamad) apa orang politik (musuhnya) tidak kata pada dia. Orang tualah,  nyanyuklah dan macam-macam lagi, percakapannya pun sesetengah orang tidak ambil peduli lagi. Akhirnya dia jatuh dan tidak naik lagi selepas memegang jawatan PM kali kedua.

Saya pula naik tidak, jatuh pun tidak. Duduk tengah-tengah, macam halkum (anak tekak). Orang buang pun tidak jatuh, orang lambung pun tidak naik. Yang lain, bila jatuh jadi macam gelas, jatuh dan terus pecah.

Anwar pula, bila sudah berada di puncak, dia kena baiki keperibadian dan perwatakannya. Saya tahu dia dan banyak pemimpin tidak suka pada saya sikap saya dengan mereka umpama benci sayang. Baik saya dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, baik saya dengan Tun M dan saya dengan Anwar.

Orang luar tengok saya rapat dan mereka ini tunjuk rapat dengan saya tapi dalam hati semua ini berhati-hati dengan saya. Sebab mereka tahu perangai atau pendirian saya, kalau ada perkara tidak betul saya akan bercakap kritik mereka, saya tidak akan kawal diri saya, nak keluar mulut saya terkeluar.

Contoh, saya tahu Tun M sukakan saya tapi dia rimas dengan saya. Saya menyokong dia, tapi saya tidak menyokong membabi buta. Sama juga dengan Anwar, dulu saya antara yang kuat sokong dia walaupun dia tak suka pada saya. Ku Li pun sama juga, benci tapi sayang saya. Saya tak kisah ini semua.

Saya senang hati sebab dulu orang kata saya lompat parti, hari ini beratus orang politik lompat parti, malah lebih banyak daripada saya. Dulu orang kata saya rasis, hari ini ramai dah jadi rasis kerana nak hidup dalam politik, bercakap konon bela Melayu.

Saya dulu lompat parti bukan kerana kepentingan peribadi hendak dapat sokongan orang Melayu. Suara hati saya lain, ada orang, apabila pegang jawatan dalam kerajaan terpaksa retorik.

Saya nak sebut contoh, kalau dia nak marah, marahlah kepada saya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas UMNO kalah dia tidak jadi menteri sekejap. Ketika jadi Ketua Pembangkang bukan main tegas, jangan iktiraf UEC, Dong Zong kena dibubarkan, bila jadi PM apa dia buat? Semua macam itu.

MG: Kenapa Datuk tidak menyertai Tun M ketika dia bersama parti Bersatu sebelum ini? Sedangkan Datuk mempunyai peluang itu?

IBRAHIM: Saya kekal konsisten sebab itu saya dengan Tun M bila dia tubuh Bersatu, saya tidak ada parti masa itu, tapi saya tidak sertainya. Saya orang UMNO yang kena singkir dari parti dan rapatnya saya dengan Tun M ini tuhan saja yang tahu, kami pernah bersama ke luar negeri, kerap jugalah.

Tapi bila Tun M putus dengan Bersatu, masuk PH bersama DAP, saya tidak masuk Bersatu. Saya kekal dengan kerusi saya (bebas dan tubuh Putra). Pas pun bukan main benci kepada DAP, tapi benci-benci pun pernah bersama DAP. Jadi, siapa yang konsisten?

Ini semua orang luar tidak nampak (pendirian) saya, sebab saya tidak ada pangkat, tidak ada jawatan.

Saya suka cara Sanusi bercakap, saya tengok dia pun saya senyum. Dia ni sebiji macam Ibrahim Ali bercakap dulu. Itulah gaya saya bercakap dulu sehingga ramai marah pada saya.

Dulu orang kata Mat Sabu hebat, tidur atas jalan. Tengok apa dah jadi, tidak segarang dulu. Inilah keadaan yang sebenarnya.

Macam Anwar, satu lagi kelemahan dia. Anwar ini cemburu sangat, dia tidak suka ada orang lebih popular dari dia. Betul, saya tengok lama dah, zaman dia jadi pemimpin pelajar lagi.

Zaman dia dalam ABIM dulu, dia tidak suka orang lebih daripada dia. Apa-apa dialah heronya. Dia tidak suka orang lain dapat kredit lebih daripada dia. Contohnya, selepas dia jadi PM, dia masuk ke universiti bercakap dengan mahasiswa, serba serbi dia mengaku dia yang buat.

Perjuangan kemiskinan di Baling, Kedah pun dia kata kerana dia. Kalau ya pun sebutlah nama orang lain juga. Sekurang-kurangnya sebutlah dia dibantu oleh rakan-rakan yang lain seperti Halim Arshad, Ibrahim Ali. Bagilah sikit penghargaan.

Kemudian dia pergi UiTM, dia berucap, dia kata dialah yang mendesak naik taraf ITM kepada UiTM. Sekurang-kurangnya sebutlah antara yang turut kuat mendesak ialah kawan saya semasa di Kem Kamunting, Ibrahim Ali, rugikah nak sebut?

Bukan saya nak nama. Itu sejarah. Itu fakta. Kalau dia mengiktiraf rakan-rakan seperjuangan dengan dia, dia tidak rugi apapun kerana dia sudah berada di atas. Orang bukan nak dihargai pun, tetapi jangan menipu sejarah.

Sebab itu kita tengok, banyak rakan-rakan seperti arwah Sidek Baba dan Ustaz Ismail Mina. Mereka ini dulu kawan baik Anwar dalam ABIM. Ketika Anwar dipecat dulu, Ustaz Ismail Mina hari-hari datang rumah saya minta saya turut serta bela Anwar.

Hari ini dialah orang pertama menolak Anwar. Begitu juga Datuk Kamarudin Md. Nor, masuk Bersatu bertanding di DUN Air Lanas, Jeli dan menang. Datuk Kamarudin Jaffar yang paling setia dengan dia dulu, ikut Mohamed Azmin Ali masuk Bersatu.

Cuma sejak dia jadi PM ni, dah ada muka-muka lama datang semula termasuk yang mengetuai Pertubuhan Profesor (G70) Prof Dr. Osman Bakar. Buat kenyataan media jangan sentuh 3R, sokong Kerajaan Perpaduan. Semua ni orang kenal, orang ingat.

MG: Jadi, apa nasihat Datuk kepada Anwar?

IBRAHIM: Nasihat saya, Anwar kena berhentilah syok sendiri, tukar watak jadilah seorang negarawan. Bagaimana sifat seorang negarawan bila jadi PM? Dia kena ikut macam Tun M.

Satu lagi saya nak ingatkan Anwar. Walau macam mana pun dia tidak boleh lupa sejarah. Yang membawa masuk dan menaikkan dia dalam UMNO ialah Ku Li. Saya ketika itu hanya tukang buat temu janji untuk bawa Anwar masuk UMNO dan Tun M pun setuju ambil Anwar dan terus angkatnya dan berinya tempat yang penting sehingga jadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kerana jawatan inilah yang mengeratkan dia dengan pemimpin dunia kerana sebagai Menteri Kewangan ketika itu ada hubungan rapat dengan Bank Dunia, IMF dan pemimpin lain menyebabkan dia terkenal.

Satu perkara lagi, ada pernah Anwar sebut nama Ku Li dan nyatakan yang dia masuk UMNO kerana Ku Li? Dia juga mengaku tubuh Bank Islam, padahal semua ini ditubuhkan sebelum dia masuk UMNO lagi.

Kemudian Anwar dipenjarakan, Tun M nak jatuhkan Najib, cari Anwar. Keluar penjara. Tapi Anwar kata Tun M tidak kenang budi. Tun M dilantik PM ketujuh dan kata nak merintah lama sikit, tapi Anwar tidak sabar dan akhirnya bergaduh. Sekarang tengok cara dia serang Tun M, tuduh ada harta berbilion. Itulah sebab Tun M kalah di Langkawi termasuk rakyat fikir Tun M patut berehat.

Tapi kena ingat, setiap patah keluar dari mulut Tun M masih berbisa. Otai itu masih berbisa. Ini Anwar kerana seronok dan ghairah hingga hilang punca dan bantai Tun M macam-macam, tapi satu bukti pun dia tak boleh tunjuk.

Sepatutnya sifat seorang PM, bila Tun M tegur, dia diam saja. Buat macam Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dulu kena tegur, dia diam, tak jawab.

Pak Lah bukan banyak sangat jasanya pun, Tun M lantik dia Timbalan Perdana Menteri pun untuk ganti Anwar sahaja ketika itu.

Apa salah Anwar jawab kalau Tun M serang dia, “tak apalah, dia bekas PM kita. Dia nak cakap pun cakaplah, saya pun tak nak jawab kerana rasa hormat saya”. Nak cakap atau jawab macam itu tak bolehkah?

“Tak apalah pandangan-pandangan dia (Tun M) ni, nanti saya ambil kiralah”. Lepas jawab macam tu, sama ada dia buat atau tak nak buat, itu bab lainlah. Dia kena jaga air muka, maruah Tun M kerana Tun M juga pemimpin bertaraf dunia. Semua orang tahu dan komitmennya sungguh luar biasa.

Lagi pun hanya Tun M yang ‘serang; dia. Kalau dia jawab cara profesional macam itu, macam seorang negarawan tentu Tun M mati akal dengan dia. Ini dia jawab seolah bagi bola tanggung kepada Tun M. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMNO mula sakit era Pak Lah sekarang semakin teruk – Tok Him