Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menolak tawaran pengantaraan AirAsia dalam satu surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu. 

KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) telah menamatkan kontrak Pestech Technology Sdn Bhd (Pestech) untuk membekal, mereka bentuk dan pemasangan penggerak penumpang automatik (APM) atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MAHB dalam satu kenyataan berkata, penamatan itu disebabkan Pestech tidak menunjukkan prestasi kerja memuaskan, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan dalam menyiapkan projek pada tarikh akhir yang ditetapkan.

“Keputusan ini diambil oleh Lembaga Pengarah MAHB dengan mematuhi prinsip tadbir urus MAHB dan berdasarkan pemantauan rapi pembangunan progresif projek APM itu oleh pengurusan MAHB dan perunding bebasnya.

“Pestech didapati melanggar tanggungjawabnya di bawah kontrak dan gagal untuk membetulkan perkara yang sama dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Mengimbas kembali, Pestech telah dilantik oleh MA Sepang sebagai kontraktor reka bentuk dan binaan untuk Program Penggantian Aerotrain KLIA bernilai RM742.95 juta pada 14 Disember 2021 melalui proses tender terbuka.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood berkata projek berkenaan amat penting bagi memastikan keselesaan dan kemudahan penumpang yang melalui KLIA.

“Fokus kami adalah aerotrain disiapkan tepat pada masanya dan mematuhi kawalan kualiti yang ketat dan memenuhi piawaian keselamatan projek tanpa kompromi terhadap operasi dan proses tadbir urus kami,” katanya.

MAHB berkata, berikutan notis penamatan tersebut yang didahului dengan notis ingkar kepada Pestech, MA Sepang akan dapat memulakan semula dan menyiapkan kerja-kerja melalui penglibatan pihak lain yang berkaitan dengan memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual.

Syarikat itu berkata, ia tetap komited untuk memperuntukkan sumber yang diperlukan untuk meminimumkan potensi kelewatan kepada projek APM.

Berkuat kuasa serta-merta, MA Sepang akan mempercepatkan perundingan dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sedia ada yang terlibat dalam Projek APM itu untuk kesinambungan dan bagi mengurangkan sebarang kelewatan.

Ia termasuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan yang terlibat dalam projek penggantian landasan dan sistem kereta api dan mengenal pasti kontraktor pihak ketiga yang berpengalaman dan boleh dipercayai untuk memastikan kemajuan konsisten dalam semua komponen projek. – Bernama