Peniaga barang lusuh bergelar Datuk dan dua anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menyebabkan kematian ke atas lelaki warga India pada 4 Ogos lalu.

PETALING JAYA – Seorang lelaki bergelar Datuk dan dua anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan menyebabkan kematian warga India yang mayatnya ditemui dalam guni plastik pada 4 Ogos lalu.

Peniaga barangan lusuh, Datuk V. Nanta Kumar, 51, bersama dua anak lelakinya, Miren Ram, 24 dan Krithik Ram, 22, telah membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama-sama seorang lagi individu yang masih bebas telah menyebabkan kematian kerani syarikat milik keluarga itu, A. Vinayagamoorthy, 41, dengan niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah tapak besi buruk, Taman Bukit Serdang di Seri Kembangan di sini pada pukul 1.30 tengahari 4 Ogos lalu.

Kesemua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Datuk Suraj Singh.

Ahmad Zuhaini tidak mencadangkan sebarang wang jaminan kepada kesemua tertuduh memandangkan kes itu diletakkan bawah peruntukan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, Suraj Singh dalam hujahnya memberitahu mahkamah meskipun kes ini berada bawah peruntukan yang tidak boleh dijamin namun mahkamah mempunyai kuasa berbuat demikian kepada tertuduh dalam kes tersebut.

“Tuan Hakim, Nanta Kumar menghidap penyakit kencing manis dan sakit tulang belakang manakala dua anak lelakinya iaitu Miren Ram mempunyai penyakit asma manakala Krithik Ram tercedera selepas terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.

“Oleh demikian, pihak pembelaan tidak membantah sekiranya syarat tambahan dikenakan kepada mereka,” katanya yang turut dibantu rakan peguam, Kailash Sharma.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dalam guni plastik: Tiga suspek dituduh di mahkamah esok

Mayat dalam karung guni ditemui di tapak besi buruk

Malah mahkamah juga memerintahkan kesemua tertuduh memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.

Kemudian Mahkamah Sesyen menetapkan 19 September ini sebagai tarikh untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Pada 6 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan dilaporkan berkata, pihaknya telah menemui mayat seorang lelaki warga asing disumbat dalam guni plastik di tapak besi buruk lama di Taman Bukit Serdang.

Siasatan awal polis mendapati mangsa yang merupakan seorang lelaki warga India telah dipercayai dipukul sehingga mati sebelum disumbat dalam guni.

Rentetan penemuan mayat itu, polis telah menahan seramai 13 individu yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita termasuk majikan mangsa bergelar Datuk dan direman untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette