Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menyiarkan kepada umum nama saksi yang enggan hadir dalam prosiding.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan itu terpaksa diambil agar rakyat mengetahui bahawa isu-isu yang disiasat oleh jawatankuasa itu tidak mendapat kerjasama daripada individu-individu berkenaan.

Menurut beliau, ketidakhadiran bekas pegawai pengawal dan Ketua Setiausaha (KSU) menyebabkan laporan PAC tidak komprehensif.

“Adalah amat penting untuk semua Pegawai Pengawal dan KSU bertanggungjawab terhadap PAC seperti termaktub dalam Arahan Perbendaharaan (Pindaan 2023) dengan memastikan kehadiran semua saksi termasuk mantan Pegawai Pengawal/KSU apabila dipanggil oleh Jawatankuasa untuk menghadiri prosiding ini.

“Sehubungan itu, PAC ingin menegaskan bahawa kesemua mantan Pegawai Pengawal/KSU perlu bertanggungjawab dan hadir bagi menjelaskan mengenai isu-isu yang timbul semasa mereka menerajui kementerian, jabatan atau agensi kerajaan terbabit,” tegasnya.

Menurut beliau, keengganan bekas Pegawai Pengawal dan KSU untuk hadir ke prosiding PAC merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (a) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

Ia secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa terdapat perkara yang ingin disembunyikan oleh mantan Pegawai Pengawal dan KSU berkenaan.

Sementara itu PAC turut menuntut Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mengambil maklum sekiranya ada mantan Pegawai Pengawal/KSU yang enggan hadir dalam prosiding jawatankuasa tersebut.

Selain itu, PAC juga mahu satu mekanisme diwujudkan oleh Kerajaan agar semua mantan Pegawai Pengawal dan KSU yang dipanggil, menghadirkan diri ke prosiding PAC.

Katanya, kehadiran saksi-saksi dalam prosiding PAC adalah platform terbaik untuk mereka memberikan penjelasan serta keterangan mengenai isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Beliau menegaskan, laporan PAC yang komprehensif telus selaras dengan perbahasan Ahli-ahli Parlimen ketika perbahasan LKAN di Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya jawatankuasa itu menyiasat dengan lebih terperinci isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN.- MalaysiaGazette