Safiey Ilias @ Mohd Safiuddin Ilias

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini melepas tanpa membebaskan usahawan kosmetik Safiey Ilias daripada empat pertuduhan seksual membabitkan dua remaja lelaki, dua tahun lepas.

Hakim Norhazani Hamzah membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon agar Safiey, 29, atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan.

“Kes dibatalkan. Tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan dan wang jaminan dikembalikan,” katanya.

Terdahulu, Nurfadzlin berkata, permohonan itu dibuat atas alasan Safiey akan didakwa semula di Pahang dan Johor kerana mangsa, yang juga saksi dalam kes terbabit, masing-masing berada di kedua-dua negeri.

Beliau berkata, jika perbicaraan dijalankan di Mahkamah Ampang, ia menyukarkan mangsa kerana terpaksa berulang-alik.

Peguam Harjeet Singh Sidhu, yang mewakili Safiey, pula memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan kerana kes itu sudah lama.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar bantahan awal Safiey berhubung dua daripada empat pertuduhan seksual terhadapnya.

Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditetapkan pada 4,5 dan 11 September serta 2 Oktober ini.

Safiey didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan dua mangsa menerusi aplikasi Instagram di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada 9 pagi, 9 Jun 2021.

Penyanyi lagu ‘Syinta Gila’ itu juga berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menggoyang-goyangkan payudara di hadapan mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15(a)(i) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama