KUANTAN – Seorang anggota polis dijatuhi hukuman denda RM3,800 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM500 hari ini di Mahkamah Sesyen Kuantan.
Dengan alasan suapan yang diambil bagi memberi makan dan minum kepada anggota kelolaannya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan tiada peruntukan disalurkan, penjawat awam berkenaan mengakui kesalahan yang dilakukan dua tahun lepas.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut menetapkan hukuman penjara selama 12 bulan ke atas Abdul Wahab Musa, 58, jika gagal membayar wang denda.
Berdasarkan fakta kes dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif, Abdul Wahab yang bertugas di Bahagian Operasi dan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kuala Bera, Bera didakwa menerima suapan daripada individu sebanyak RM500 pada 5 September lalu di Rumah Rakit kampung Bukit Serdang, di Bera.
Tertuduh berkemeja hijau turut mengaku salah bagi dua lagi dua pertuduhan pilihan.
Bagi pertuduhan pilihan pertama, menerima wang tunai RM1,000 daripada seorang individu di balai itu pada 19 Mei tahun lalu manakala dalam pertuduhan pilhan kedua, Abdul Wahab didakwa menerima wang tunai RM500 pada 2 Jun 2021.
Bagi kesemua pertuduhan itu, Wahab didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.
Tertuduh diwakili peguambela Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar dalam hujahan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang rendah kepada anak guamnya dengan alasan kesalahan kali pertama sepanjang perkhidmatannya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Syed Azimal juga memohon pertimbangan budi bicara mahkamah bagi mengambil kira tanggungan enam orang anak belum bekerja dan isteri.
Beliau turut merayu agar hukuman yang dikenakan tidak melebihi gaji anak guamnya berjumlah RM3,800.
Namun Timbalan Pendakwa Raya dalam hujahan balas memohon mahkamah menetapkan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh yang mengambil jumlah suapan RM2,000.
Hakim kemudiannya memutuskan hukuman denda dengan nilai RM3,800 dan memutuskan bahawa Abdul Wahad tidak boleh disabitkan dengan dua lagi pertuduhan pilihan yang telah diakui, dan wang cagaran dipulang semula. – MalaysiaGazette
Teruskan mendakwa bilis bilis yg senang dicari. biar jerung jerung dan iblis syaitan terlepas..