Polis Forensik membuat pemeriksaan pada pesawat terhempas yang mengorbankan enam penumpang, dua kru dan dua pengguna jalan raya di sekitar bandar Elmina, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Siasatan lanjut kejadian pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam hari ini akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Siasatan dibuat mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat terlibat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd.

Sejumlah enam penumpang dan dua kru penerbangan berada dalam pesawat yang terhempas, katanya.

“Pesawat berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norazman berkata, hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang, ialah pada pukul 2.47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada pukul 2. 48 petang.

“Pada pukul 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut,” katanya.

Menurutnya, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat. – MalaysiaGazette