Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bersama para peserta selepas Majlis Perasmian Healthcare Facility Management Conference and Exhibition 2023 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Sehingga kini sebanyak 91 buah klinik daif telah selesai dibaiki.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata kini sebanyak 341 buah klinik daif  melibatkan seluruh negara masih dalam proses baik pulih dan naik taraf.

“Untuk tahun ini kita telah mengenal pasti 436 klinik daif yang akan dibaik pulih setakat ini dalam pelaksanaan 341 klinik,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Sokongan Hospital  (HcFM CONFEX 2023).

Menurut Zaliha, Terengganu merekodkan negeri paling banyak klinik daif iaitu 58, diikuti dengan Negeri Sembilan (44) selain Pahang dan Perak masing-masing 42.

Sebagai rekod, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk pelaksanaan baik pulih dan naik taraf semua klinik dalam keadaan daif di seluruh negara.

Zaliha sebelum ini menjangkakan kerja baik pulih semua klinik yang terlibat akan selesai menjelang hujung tahun ini.-MalaysiaGazette