KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun seorang yang berdedikasi dalam khidmat tugasnya dan amat disenangi rakyat.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganggap pemergian allahyarham satu kehilangan besar kepada penduduk Pahang dan kepada UMNO.
“Innalillahiwainnailaihirojiun Kami sekeluarga berasa terkejut dan amat sedih menerima berita mengenai nahas kapal terbang di Elmina, Selangor petang tadi,” katanya menerusi admin di Facebooknya hari ini.
Johari antara 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam hari ini.
Selain ADUN Pelangai, arwah juga adalah Exco Kerajaan Negeri Pahang dan juga Ketua UMNO Bahagian Bentong.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga menggangap allahyarham seorang pemimpin yang telah banyak menaburkan khidmat bakti untuk rakyat negeri itu.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham serta keluarga semua mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang.- MalaysiaGazette