Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan mahkamah selepas pendegaran permohonan pasport antarabangsanya di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor yang mahu mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan melawat anaknya, Nooryana Najwa Mohd Najib dan keluarga di Singapura dibenarkan Mahkamah Rayuan sebentar tadi.

Untuk makluman, ini merupakan kali ke-4 beliau dibenarkan mendapatkan pasport sementara oleh mahkamah.

Tiga panel hakim sebulat suara yang dipengerusikan oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu telah memohon ke Singapura bermula esok sehingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 September dan 9 September hingga 31 Oktober ini.

Jumaat lepas, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan permohonan melalui Tetuan Akberdin & Co. pada Jumaat minggu lalu dan akan didengar di Mahkamah Rayuan esok.

Dalam afidavit yang ditunjukan kepada media, Rosmah telah memohon agar pasportnya dikembalikan pada tiga tarikh berasingan iaitu 18 hingga 23 Ogos, kemudian 26 Ogos hingga 6 September dan 9 September  sehingga 31 Oktober depan.

Rosmah turut berkata, beliau akan pulang ke tanah air bagi menghadiri perbicaraan kes jenayahnya pada 24 dan 25 Ogos kemudian 7 dan 8 September depan.

Untuk makluman, anak perempuannya, Nooryana merupakan anak sulung Najib dan Rosmah telah  berkahwin dengan seorang pemuda warganegara Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan menetap di Singapura.

Sebelum ini juga Rosmah pernah membuat permohonan sama pada hujung tahun lepas dan juga tahun ini Mac, semuanya telah diberikan kebenaran mahkamah tanpa sebarang bantahan.

Rosmah juga berkata sehingga ke hari ini dirinya tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi mana-mana prosiding tanpa alasan munasabah.

Rosmah ketika ini sedang berdepan sabitan kes rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan, pengurusan kes seterusnya pada 18 September ini.

Beliau juga sedang berdepan dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). -MalaysiaGazette