KUALA LUMPUR – Anak lelaki Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ikwan Hafiz menafikan beliau merupakan antara 10 mangsa yang terkorban, dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, petang tadi.
Ikwan, 36 dalam kenyataan ringkas kepada Bernama berkata laporan yang disiarkan dalam media utama menyatakan, namanya antara yang tersenarai menaiki pesawat ringan berkenaan adalah tidak benar dan palsu.
“Saya kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh segelintir pengamal media yang tidak bertanggungjawab dan menyiarkan berita secara melulu, tanpa sebarang semakan sehingga menimbulkan spekulasi yang mengganggu ketenteraman keluarga.
Terdahulu, polis mengesahkan orang kenamaan merupakan antara 10 lelaki maut dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, dekat sini petang tadi.
Antara yang terkorban ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun.
Pesawat berkenaan sebelum itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan membawa lapan orang termasuk dua kru penerbangan.
— BERNAMA