Keadaan tempat menunggu untuk waris mangsa nahas pesawat terhempas di Perumahan Elmina 8 yang telah kosong ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2023.

KLANG – Semua ahli keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina dekat Shah Alam, yang berkumpul di pekarangan Jabatan Forensik HTAR beransur pulang selepas diberitahu jenazah juruterbang dan penumpang selesai menjalani bedah siasat Isnin ini.

Para waris yang ditempatkan di khemah khas disediakan pihak HTAR sejak semalam dijangka menerima jenazah mangsa selepas jam 2 petang ini, berdasarkan makluman awal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, pihak forensik memerlukan masa untuk menyelesaikan proses forensik berikutan sembilan daripada 10 mayat yang diterima dalam keadaan tidak sempurna.

Ahli keluarga yang tiba di HTAR seawal jam 6.30 pagi tadi ditempatkan di sebuah bangunan dan dibawa turun tiga jam kemudian untuk berkumpul di khemah yang disediakan.

Para media bagaimanapun dilarang daripada mendekati khemah ahli keluarga mangsa dengan alasan tidak mahu emosi mereka terganggu berikutan kebanyakannya masih dalam keadaan terkejut dan bersedih dengan berita kemalangan itu.

Kumpulan media yang ditempatkan kira-kira 50 meter dari khemah ahli keluarga dikawal ketat oleh pasukan keselamatan dan peronda HTAR dengan memasang pita larangan masuk.

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai dan bertemu dengan waris mangsa, media juga tidak dibenarkan mendekati khemah berkenaan, kecuali jurugambar dipercayai dari Jabatan Perdana Menteri.

Pada jam 3 petang, sebaik Razarudin selesai mengiringi Anwar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi solat Jumaat, beliau datang semula ke HTAR untuk memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa mengenai perkembangan terkini.

Dalam taklimat itu, beliau memaklumkan berhubung penemuan kira-kira 200 cebisan daging, dipercayai milik sembilan daripada 10 mangsa korban di lokasi kejadian pesawat terhempas.

Katanya, proses bedah siasat terpaksa mengambil masa kerana untuk memadankan 200 cebisan daging itu dengan 22 DNA ahli keluarga mangsa.

“Proses pemadanan DNA ini yang mengambil masa dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari. Lagipun, semua mayat sudah dibawa ke Jabatan Forensik dan kami jangka Isnin ini selesai.

“Saya nasihatkan pulang dahulu ke rumah atau penginapan berdekatan. Apa-apa perkembangan terkini kami akan maklumkan dari semasa ke semasa.

“Sebaiknya tunggulah di tempat yang lebih selesa dan nyaman, bukan di bawah khemah yang panas dan sempit ini. Tuan-tuan dan puan-puan kena jaga kesihatan,” katanya.

Akur dengan nasihat itu, kira-kira sejam kemudian kelihatan ada ahli keluarga mula beransur meninggalkan khemah berkenaan sehingga kawasan itu kosong dan lengang sekitar jam 5.30 petang.

Sepanjang hari ini, tiada pergerakan keluar masuk sebarang jenis kenderaan yang digunakan untuk membawa jenazah, melainkan membawa anggota forensik dan pasukan keselamatan.

Suasana sekitar juga terkawal dengan kumpulan media mematuhi sepenuhnya peraturan ditetapkan pihak polis dan HTAR. – MalaysiaGazette