Poster ucapan takziah

KUALA LUMPUR – Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam merupakan ‘rider’ terbaik Foodpanda.

Perkara tersebut dinyatakan oleh syarikat tersebut dalam ucapan takziah yang dikongsi di laman sosial susulan pemergian mengejut anak kelahiran Sidam, Kedah itu.

“Salam takziah kepada seluruh keluarga daripada kami Foodpanda.

“Muhamad Hafiz Bin Muhmad Salleh yang merupakan rider terbaik Foodpanda. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” tulis Foodpanda.

Tragedi Elmina telah mengorbankan 10 nyawa yang terdiri daripada enam penumpang, dua kru dan dua lagi orang awam iaitu Muhamad Hafiz dan seorang pemandu Grab.

Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2:08 petang.

Pesawat yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn. Bhd. itu menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Kesemua mayat kini berada di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang bagi proses bedah siasat. – MalaysiaGazette