Anuar Mohd Yusof dan Nor Atira Othman

BENTONG –  Penduduk Simpang Pelangai kehilangan intan permata yang banyak berjasa kepada masyarakat setempat berikutan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat ringan dekat Shah Alam, semalam.

Kehilangannya amat dirasai kerana beliau merupakan pemimpin berjiwa rakyat yang sering menghulurkan khidmat sejak menjadi wakil rakyat apabila menang pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

Nor Atira Othman, 29, berkata, Johari senang berdamping bersama masyarakat dan membantu menyelesaikan masalah penduduk setiap kali aduan sampai kepadanya.

Katanya, allahyarham yang dianggap pewira itu sepatutnya dijadualkan balik ke kawasan hari ini bagi menyertai program di Batu Gajah, dekat sini, setelah hampir tiga minggu tidak pulang berikutan pilihan raya di enam negeri.

”Kami penduduk dengan arwah memang rapat dan mesra, akan order air dua gelas di kedai. Arwah sangat berjasa, ada masalah air dan elektrik terus siap terus repair, kalau ada kejadian banjir atau ribut terus turun.

”Amat terkesan pergi mengejut, sepatutnya balik kawasan di Bukit Gajah di Pelangai, lama tak datang sepanjang musim PRN, penduduk ada bunyi lama tak nampak arwah.

”Dia memang berjasa betul, semua terkesan dan senang berurusan. Harap pengganti macam dia juga kalau boleh. Saya merasa dapat rumah dekat Baris, panjang umur katanya akan siapkan highway dekat Karak,” katanya etika ditemui, di sini.

Menurutnya, kegemaran Allahyarham ialah daging salai, kari kambing dan janggek ( kulit lembu) masak lemak ala masakan minang.

Tambahnya, Allahyarham seorang yang tidak kedekut dan akan membayar semua makanan siapa yang ada ketika berkunjung ke gerai serta  menyantuni penduduk di sini.

Anuar Mohd Yusof,59, pula berkata, sifat pemurah dan mengambil berat hal ehwal penduduk kampung menjadikan arwah disenangi dan disayangi semua golongan umur di sini.

Menurutnya arwah sempat berkongsi hasrat menyediakan 400 unit rumah untuk rakyat dan menyiapkan lebuhraya Bentong ke Simpang Pelangai.

”Allahyarham sangat pemurah kerana jika membeli produk tani penduduk akan membayar lebih daripada harga asal selain sumbangan peribadi.

”Dia selalu makan sini, belanja kawan dengan orang ramai, Dia tak kedekut tak sombong, kalau jumpa saya memang tepuk belakang

”Memang baik, kalau dia beli barang RM4 tapi bayar RM50, dia pun ada rancang nak buat projek perumahan sebanyak 400 buah, perancangan buat lebuh raya Bentong,” katanya.

Allahyarham Johari pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan lima lagi penumpang dan juruterbang serta pembantunya.

Lain-lain penumpang terkorban ialah Kharil Azwan Jamaluddin, Shahrul Kamal Roslan, juruterbang pesawat terbabit milik Jet Valet Sdn Bhd dan pembantunya, Heikal Aras Abdul Azim manakala penumpang, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Johari dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu dalam pertandingan empat penjuru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast