Anggota Bomba memadam api kebakaran pada pesawat terhempas yang mengorbankan enam penumpang, dua kru dan dua pengguna jalan raya di sekitar bandar Elmina, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Laporan awal siasatan pesawat ringan yang terhempas di Perumahan Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu akan disediakan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh nahas itu.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13) telah dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada tarikh kemalangan tersebut.

“Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan, dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada Khamis lalu, sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park.

Dalam kejadian jam 2.48 petang itu semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakala dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia.

Menurut kenyataan itu, siasatan itu tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti.

Sementara itu, MOT meminta orang awam atau mereka yang mempunyai rakaman video atau gambar yang relevan mengemukakan bahan berkenaan kepada BSKU melalu e-mel di alamat [email protected] bagi membantu siasatan – MalaysiaGazette