KLANG – Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat di Shah Alam pada Khamis lalu hadir ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pagi tadi.
Datin Seri Maziah Samsudin yang tiba pada kira-kira jam 11 pagi memasuki bangunan Jabatan Forensik hospital tersebut untuk menemui Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai jenazah suaminya.
Beliau bersama anaknya bagaimanapun belum bersedia untuk ditemuramah pemberita yang membuat liputan berita di hospital tersebut.
Seorang lelaki dipercayai abang Maziah turut menemani wanita itu yang kelihatan sugul difahamkan melakukan proses pengecaman.
Maziah meninggalkan HTAR pada jam 11.45 pagi.
Sementara itu, Hussein berkata, waris keluarga itu dipanggil untuk merakam keterangan pagi tadi.
“Apapun polis berharap boleh menerima maklumbalas positif berkenaan proses identiti mangsa pada sebelah lewat petang nanti,” katanya. – MalaysiaGazette