Suhaizan Kaiat

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Nasional (Amanah) menamakan Suhaizan Kaiat sebagai calon untuk kerusi Parlimen Pulai dan Ir. Nazri Abdul Rahman bagi calon kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.

Suhaizan, bekas Speaker DUN Johor pada 2018 dan Ir. Nazri, Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri dipilih Jawatankuasa Pemilihan Calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 17 Ogos lalu.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataannya kepada media hari ini berkata, keputusan meletakkan dia calon itu dibuat selepas mengambil kira semua faktor dan pandangan dari jawatankuasa itu.

Mohamad Sabu.

“Saya dengan ini mengumumkan calon yang akan bertanding mewakili Amanah dan Pakatan Harapan (PH) serta parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Suhaizan Kaiat bertanding di kerusi Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram diletakkan Ir. Nazri.

“Insya-Allah, calon-calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos ini di DUN Simpang Jeram, Johor,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor pada 9 September ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

PRK dua kerusi itu diadakan kerana berlaku kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Menurut Mohamad, berikutan itu, Amanah memanggil mesyuarat peringkat pusat pada 15 Ogos dan bersetuju membentuk jawatankuasa berkenaan yang dianggotai dua Naib Presiden iaitu Adly Zahari dan Datuk Mahfuz Omar.

Turut menganggotai jawatankuasa itu Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Hatta Ramli; Ketua AWAN, Aiman Athirah Al Jundi; Ketua Pemuda, Hasbie Muda; dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hasan.

Media baru-baru ini melaporkan, Perikatan Nasional (PN) Johor telah menyerahkan 15 nama kepada pimpinan pusat bagi dipertimbangkan sebagai calon di dua kerusi berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, senarai itu telah diserahkan Khamis lalu di Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya, senarai 15 nama yang mempunyai kombinasi muka lama dan baharu itu melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Pas dan Gerakan. – MalaysiaGazette