Mohd Hairi (kiri) melancarkan Program Southern Volunteers Prihatin Johor Future 2023 DUN Larkin di Kampung Kurnia hari ini.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu  risau mengenai isu negeri yang akan bakal dimainkan pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hairi Md Shah menyatakan ini kerana banyak masalah peringkat negeri sudah dan sedang diselesaikan di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia  Negeri Johor yakin pelaburan yang berjaya dibawa masuk juga akan menguatkan lagi kepercayaan pengundi sekali gus menjadi faktor mendorong mereka memilih calon Kerajaan Perpaduan dalam dua PRK berkenaan

“Isu pasti ada tetapi isu apa yang bakal dimainkan kita pun tidak pasti tetapi saya yakin rakyat terutama pengundi di negeri ini sudah matang untuk menilai dan memilih.

“Rakyat kita sudah tentu boleh melihat apa yang kita (kerajaan negeri) boleh lakukan. Perlu diingat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu seiring bagi meneruskan lagi kemajuan sedia ada di Johor,” katanya ketika ditemui selepas Program Southern Volunteers Prihatin Johor Future 2023 DUN Larkin di Kampung Kurnia hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor pada 9 September ini.- MalaysiaGazette