Zarina Zainal Abidin

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menamatkan spekulasi dan teka teki membabitkan pertuduhan kes terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Biro Undang-Undang dan Perlembagaan Putra, Zarina Zainal Abidin berkata, kemelut kes itu memberi impak dan meninggalkan banyak persoalan sehingga ada yang melabelkan ia sebagai percaturan politik untuk melepaskan pihak tertentu.

Ini katanya, jelas kerana terdapat unsur serta cubaan untuk menggugurkan tuduhan tersebut memandangkan Jabatan Peguam Negara sendiri seolah memberi bayangan melalui penangguhan yang mengambil masa begitu lama.

“Mengimbas semula kes itu, sebanyak 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi (YAB) yang masih belum diputuskan sejak 1 Ogos lalu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Menurut Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC, Mohd Dusuki Mokhtar, hasil siasatan lanjut daripada SPRM dan Pasukan Petugas Khas SPRM, kes tersebut masih berada dalam status ‘penantian’,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Zarina yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, Ahmad Zahid telah megemukakan representasi melebihi 200 halaman mengandungi isu kompleks dan dihantar kepada Idrus sebagai pertimbangan.

Jelas beliau, representasi pertama dihantar pada Januari lalu manakala yang terbaharu beserta beberapa fakta dan bukti terkini dihantar sebulan lalu.

“Isu Ahmad Zahid kini sudah menjadi barah kepada prinsip rule of law kerana pelbagai spekulasi, telahan dan reaksi dalam hantaran media sosial tular.

“Jika perkara ini berterusan dan kesnya digugurkan melalui representasi yang dikemukakan selepas selesai pembicaraan dan didapati ada prima facie, sudah tentu akan menimbulkan kesan.

“Ini secara tidak langsung menyumbangkan kepada kecelaruan pemikiran rakyat dan menghakiskan kepercayaan orang ramai terhadap perjalanan sistem undang-undang negara,” katanya.

Beliau berkata, Biro Undang-Undang dan Perlembagaan Putra minta Peguam Negara mempertahankan integriti kedaulatan undang-undang, jangan kerana satu kes melibatkan individu berprofil tinggi ia dilihat kerana setitik nila rosak susu sebelanga.

Ujarnya, isu kes Ahmad Zahid hendaklah diselesaikan segera demi ketenangan rakyat dan kedaulatan undang-undang. – MalaysiaGazette