BUENOS AIRES – Rakyat Ecuador pada Ahad keluar mengundi untuk memilih presiden negara itu yang baharu lebih seminggu selepas calon Fernando Villavicencio dibunuh semasa kempen, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Lapan calon bertanding merebut jawatan tertinggi negara itu pada pilihan raya awal berkenaan.

Luisa Gonzalez dari kem bekas Presiden Rafael Correa dianggap sebagai pilihan untuk menang, diikuti oleh aktivis alam sekitar masyarakat peribumi Yaku Perez dan bekas naib presiden kelahiran Jerman Otto Sonnenholzner.

Selain presiden, 13 juta rakyat Ecuador yang layak mengundi juga akan memilih ahli Dewan Negara dan mengundi pada dua referendum – mengenai pengeluaran minyak di Taman Negara Yasuni di wilayah Amazon dan perlombongan di hutan Choco Andino.

Jika tiada calon presiden memenangi majoriti mutlak atau sekurang-kurangnya 40 peratus undi dan kelebihan 10 peratus undi berbanding calon di tempat kedua, pusingan kedua undian akan diadakan pada 15 Oktober.

Tinjauan pendapat terbaru menunjukkan tiada calon yang dijangka menang secara majoriti besar pada pusingan pertama.

Calon pembangkang, Villavicencio ditembak mati pada 9 Ogos selepas berkempen di ibu negara, Quito.

Kerajaan negara Amerika Selatan itu menyalahkan jenayah terancang di atas pembunuhan itu.-BERNAMA–dpa

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast