JOHOR BAHRU – Southern Volunteers (SV) dalam program SV Prihatin@Johor Future telah melaksanakan aktiviti gotong-royong serta membaik pulih sebanyak 280 rumah terpilih di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sebanyak RM7,500 diperuntukkan kerajaan negeri kepada setiap DUN bagi melaksanakan program tersebut.
“Alhamdulillah, program di bawah Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor (JOYDEC) dengan kerjasama SV telah berjaya dilaksanakan di DUN Larkin. Program ini disasarkan kepada golongan kurang berkemampuan yang mana kami berhasrat untuk membantu mereka.
“Untuk makluman, setiap rumah yang dibantu diperuntukkan sebanyak RM1,500 di mana setiap DUN ada lima buah rumah. 56 DUN akan ada sebanyak lima buah rumah dan setiap rumah akan dibaik pulih dari segi dekorasi dalaman dan kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas menyertai program SV Prihatin@Johor Future di DUN Larkin hari ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia, Sukarelawan), Datuk On Jabar.
Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, kira-kira 100 sukarelawan menyertai program yang secara rasminya bermula di DUN Larkin.
“Saya jangkakan program murni di bawah JOYDEC dan SV ini dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang. Peruntukan diberikan di setiap DUN itu terpulang kepada wakil rakyat untuk melaksanakan kerja-kerja terpilih mengikut keperluan.
“Ia termasuk mengecat, mencantas pokok, keperluan perabot, landskap dan dekorasi yang dijalankan secara bergotong royong,” katanya.- MalaysiaGazette