Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Kotak perakam suara kokpit (CVR) daripada pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina minggu lalu ditemukan rosak teruk keadaan luarannya apabila dibuka pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kad memorinya (memory puck) dalam komponen itu masih berada dalam keadaan baik ketika dibuka Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Beliau memberitahu, kotak rakaman itu dihantar ke makmal di Singapura semalam kerana negara jiran itu memiliki kepakaran menerusi Technical Transport Singapore Bureau untuk mengesan data di dalam kad memori itu.

“Rakaman komputer seperti yang telah dilaporkan sebelum ini dikenal pasti dan dihantar ke makmal pada Jumaat lalu.

“Apabila ia sampai ke makmal, BSKU mendapati kotak tersebut telah pun rosak teruk di luarnya.

“Selepas itu kita mendapat bantuan teknikal daripada pihak Technical Transport Singapore Bureau dan pakar-pakar mereka juga datang ke Malaysia hari yang sama.

“Pada hari Sabtu, peralatan tersebut telah dibuka untuk mendapat memory puck tersebut dan didapati masih dalam keadaan yang baik dan oleh sebab kita tidak ada peralatan untuk kesan data rakam tersebut jadi memory puck tersebut perlu dihantar ke Singapura pada Ahad (semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, BSKU kini berada di Singapura untuk mengesan kembali rakaman suara kokpit itu bersama pakar di sana.

Namun beliau tidak dapat memastikan tempoh waktu untuk mengesan rakaman itu akan diambil.

“Kita cuba retrieve data records tersebut iaitu rakaman suara 30 minit terakhir sebelum pesawat tersebut terhempas.

“Namun tidak pasti masa untuk diambil tetapi akan berusaha secepat mungkin dan maklumat terkini akan diumumkan segera,” katanya.

Dalam insiden Khamis lalu pukul 2.50 petang, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie dekat Shah Alam.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada pukul 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Dalam tragedi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast