Maqis Pulau Pinang merampas serbuk keju seberat 4.8 tan yang dibawa masuk tanpa permit sah dari Denmark.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 4.8 tan serbuk keju yang dibawa masuk tanpa permit import yang sah.

Pengarah MAQIS Negeri Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, konsainan yang dibawa masuk dari Denmark itu ditahan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan di Pintu Masuk Dermaga Air Dalam di sini, pada Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa Maqis mendapati serbuk keju seberat 4,800 kilogram bernilai RM 140,033 itu tidak mempunyai permit import yang sah.

Pegawai Maqis Pulau Pinang sedang memeriksa serbuk keju yang dibawa masuk di Pintu Masuk Dermaga Air Dalam, Butterworth.

“Kegagalan untuk mengemukakan permit import bagi pengimportan serbuk keju adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Ikram turut menegaskan pihaknya komited menjalankan penguatkuasaan bersama agensi lain di semua pintu masuk negara.

“Penguatkuasaan ini bertujuan memastikan komoditi keselamatan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti serta keselamatan makanan,” katanya. – MalaysiaGazette