Nik Saiful Adli Burhan

KOTA BHARU – Barisan peguam Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) terguris dengan keceluparan Pemuda Pas Kelantan menghina profesionalisme mereka.

Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan berkata, dakwaan Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed mendakwa bahawa barisan peguam BN-PH menggunakan undang-undang untuk berdepan pihak lawan sebagai tindakan terdesak Kerajaan Madani adalah keceluparan yang parah.

Katanya, bebanyakan peguam BN-PH membantu parti atas kapasiti peribadi sebagai penyokong parti, bukan mewakili keseluruhan firma guaman ataupun sebahagian daripada perniagaan.

“Ramai antara kami memberikan khidmat guaman secara probono atau percuma kepada parti.

“Malah, ada firma guaman seperti cawangan firma guaman saya, langsung tidak mendapat kelebihan lantikan panel peguam kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana khidmat kepada parti.

“Oleh itu, kenyataan Mohamad Kamal ini menggambarkan bahawa firma guaman peguam penyokong BN-PH hidup dan bergantung kepada hasil dari parti adalah suatu fitnah yang jahat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas status yang dimuatnaik dalam akaun Facebook Pemuda Pas Kelantan semalam bahawa sayap parti itu melihat situasi terdesak parti Kerajaan Madani menggunakan undang-undang dalam berdepan pihak lawan mereka.

Mohamad Kamal dilaporkan berkata, ia boleh jadi sebagai langkah untuk menghidupkan firma guaman milik ahli mereka.

Pemuda Pas Kelantan itu terkilan kerana setelah rakyat membuat keputusan menolak parti gabungan Kerajaan Madani di tiga negeri secara maksimum, mereka nampaknya lebih suka meneruskan gerakan politik isu dan mengganggu kerja kerajaan yang dipilih rakyat untuk membangunkan negeri.

Menurut Nik Saiful Adli yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, fitnah itu bukan sahaja dilemparkan kepada peguam BN-PH, tetapi kepada profesion guaman serta seluruh peguam di Kelantan.

“Kami faham kejahilan Pemuda Pas dalam adab bertutur kata dan sentiasa memaafkan mereka.

“Semoga Pemuda Pas kembali mencari jalan benar, merujuk kepada ajaran Islam yang sebenar dan bersama bekerja dalam membawa perpaduan kepada rakyat Kelantan, bukan mencari titik perbalahan yang akhirnya merosakkan nama Islam yang dibawa dalam nama parti,” katanya. – MalaysiaGazette