Datuk Rizam Ismail

KLANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Sungai Air Tawar daripada Barisan Nasional (BN) satu-satunya wakil UMNO dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor baharu hari ini.

Jawatan Rizam itu berkuatkuasa selepas beliau bersama 10 lagi Ahli Dewan Negeri mengangkat sumpah dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah di sini petang ini.

Istiadat itu yang berlangsung di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Selain itu, bekas Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Sekinchan pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) juga dilantik dan menganggotai barisan Exco Selangor baharu.

Antara Exco Selangor baharu yang dilantik hari ini ialah Borhan Aman Shah (ADUN Tanjong Sepat), V. Papparaidu (ADUN Banting), Dr. Mohammad Fahmi Ngah (ADUN Seri Setia) dan Anfaal Saari (ADUN Taman Templer).

Turut dilantik semula ialah Ng Sze Han (ADUN Kinrara) dan Ir. Izham Hashim (ADUN Pandan Indah).

Manakala dua penyandang kerusi Dewan Negeri penggal ke-14 turut dilantik sebagai Exco iaitu Mohd Najwan Halimi (ADUN Kota Anggerik) dan Jamaliah Jamaluddin (ADUN Bandar Utama).

Sebelum ini, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) membentuk Kerajaan Negeri Selangor selepas menang 34 dari 56 kerusi Dewan Negeri dalam PRN15 pada 12 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast