Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Auditorium Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 22 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya merampas dua naskhah buku yang bertajuk “Marx Sang Pendidik Revolusioner” tulisan Robin Small dan “Koleksi Puisi Masturbasi” tulisan Benz Ali.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, kementerian itu tidak merampas sejumlah buku yang banyak dari sebuah kedai buku terbabit seperti mana digambarkan sesetengah pihak.

“Istilah lebih tepat kami pergi ambil dua buku sahaja, bukan satu kedai. Rampasan itu konotasi satu kedai diambil, ceritanya dua naskhah buku sahaja.

“Itu pun bertindak atas aduan awam, buku bertajuk Marx Sang Pendidik Revolusioner dan Koleksi Puisi Masturbasi.

“Pegawai kita bertindak atas aduan pergilah, ambil dua buku itu sahaja,” katanya pada sidang media di Auditorium Setia Perkasa 8, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Tyra Hanim Razali kesal dengan tindakan KDN merampas buku dan bahan bacaan selepas menyerbu Toko Buku Rakyat milik penulis Benz Ali di Wisma Central, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Menurut Tyra Hanim, rampasan bahan bacaan ilmiah yang tidak terdapat dalam senarai perintah larangan itu boleh disalahertikan sebagai suatu tindakan yang menekan kebebasan berkarya terutama bagi penulis tanah air.

Saifuddin juga mempertahankan tindakan pegawai penguatkuasaan KDN yang merampas dua buku berkenaan kerana ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) kementerian itu.

“Tujuannya (rampas) selidik, kalau hasil penyelidikan nanti menunjukkan tiada apa-apa isi kandungannya yang menjejaskan ketenteraman atau ketidakselesaan awam, bagi balik kepada dia.

“Dari segi undang-undang itu membenarkan penguatkuasa untuk ambil, tak ada isu itu (kena beli buku),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast