Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menandatangani plag perasmian Kompleks Setia Perkasa pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Auditorium Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 22 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN)  merancang untuk memindahkan sekurang-kurangnya 80 kanak-kanak pendatang asing tanpa izin (PATI) dari tiga depoh tahanan sementara Imigresen dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kanak-kanak PATI berusia 18 tahun ke bawah ini kemudiannya akan ditempatkan di pusat penjagaan yang lebih sesuai sebelum dihantar semula ke negara asal.

“KDN telah mengenal pasti satu lokasi untuk kami tempatkan kanak-kanak dalam depoh imigresen ini. Ini adalah permulaan kepada usaha berterusan kami untuk mengeluarkan kanak-kanak dalam depoh imigresen.

“Ia bertujuan supaya penjagaan kanak-kanak ini lebih manusiawi dapat diberikan, suasana lebih kondusif, penjagaan lebih baik berbanding dengan tempat sekarang.

“Ini kami akan muktamadkan dalam masa terdekat ini dan ia akan melibatkan kumpulan pertama, kami sasarkan 80 kanak-kanak,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Auditorium Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya.
Foto WAN NABIL NASIR, 22 OGOS 2023.

Terdahulu Saifuddin menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Auditorium Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa di sini pagi tadi.

Pada 15 Februari lalu, Saifuddin mengumumkan KDN dalam usaha membawa keluar kanak-kanak yang berada di depoh tahanan sementara Imigresen di seluruh negara.

Ketika di Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu, Saifuddin juga memaklumkan seramai 1,179 anak PATI ditahan di depoh imigresen di seluruh negara sehingga 29 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, untuk permulaan, KDN akan mengeluarkan 80 kanak-kanak PATI dari tiga depoh tahanan sementara Imigresen yang berada di Lembah Klang.

“Kanak-kanak ini akan diambil ke depoh tahanan sementara Imigresen di Semenyih, Bukit Jalil dan KLIA,” jelasnya.

Beliau juga memberi jaminan inisiatif melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu tidak akan melibatkan pertambahan anggota dari segi pengawalan di tempat baharu nanti.

“Tiada penambahan anggota, kami cuma perlu sesuaikan tugasan dalam kalangan pegawai sedia ada. Saya anggap ini sebagai terjemahan kepada pengumuman yang saya buat pada Februari lalu,” katanya.

Katanya lagi, KDN kini di peringkat akhir dalam penyediaan tempat tahanan untuk kanak-kanak PATI sebelum proses penempatan semula dilakukan pada tahun ini.

“Kami cuma tinggal untuk menyelesaikan aspek persiapan logistik mudah seumpama memasukkan alas tidur dan melengkapkan sikit lagi soal logistik bangunan, bekalan air, kemudahan elektrik dan lain-lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast