SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat kes buli membabitkan pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang didedahkan menerusi Twitter semalam.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sekolah dan guru terlibat telah dikenal pasti susulan penularan isu berkenaan.

“Kes itu dalam siasatan dan insyallah kita akan tangani ikut proses kerja KPM

“Kita akan pastikan proses siasatan berlangsung dengan baik dan lancar. Dalam siasatan jadi bila begitu maknanya banyak pihak telah dilibatkan untuk melihat isu itu,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Tambah Fadhlina, KPM akan menjalankan siasatan mengikut prosedur yang sepatutnya sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Pada Isnin, kakak kepada pelajar OKU yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah mendakwa adik perempuannya, 14, sering dibuli seorang guru wanita sehingga mengalami trauma.

Pendedahan itu dibuat oleh pengendali Twitter yang menggunakan nama @pedoqpop.

Wanita tersebut mendakwa, guru berkenaan juga sering menengking dan memulaukan adik perempuannya.

Tambahnya, malangnya perkara berkenaan tidak mendapat respon yang baik daripada pengetua sekolah  dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) meskipun aduan telah dibuat. -MalaysiaGazette