Isfadiah (kiri) bersama ahli Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman bersama anak pelarian Yaman di klinik bergerak di Marib.

KUALA LUMPUR – Situasi kesihatan di Yaman kian kritikal apabila hampir 17.4 juta rakyat di negara itu memerlukan bantuan perubatan berikutan krisis perang saudara yang berlarutan sejak akhir 2014.

Di Marib sahaja ada 196 kem diduduki lebih dua juta pelarian yang tinggal di wilayah itu tanpa mempunyai ruang dan peluang untuk mendapatkan akses perubatan mencukupi.

Hospital yang ada di situ tidak mampu menampung keperluan penduduk asal Marib, maka jauh sekali ruang dan peluang para pelarian untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Menurut Ahli Misi Kemanusiaan Untuku Yaman yang juga Duta Rasmi Serantau Muslim, Isfadiah Mohd Dusuki, mereka terpaksa bergantung harap kepada sumbangan perubatan daripada masyarakat antarabangsa yang prihatin termasuk rakyat Malaysia.

Oleh itu, katanya, Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman ketika ini, Serantau Muslim telah melaksanakan program klinik bergerak di kem pelarian Yaman untuk tempoh beberapa hari, selain menyumbang bekalan perubatan bernilai RM37,000.

“Untuk makluman, klinik bergerak ini hanya akan beroperasi apabila mendapat sumbangan daripada NGO dan penyumbang dermawan.

Doktor Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman memberi rawatan kepada pesakit kanak-kanak Yaman di klinik bergerak di Marib.

“Klinik adalah satu keperluan mendesak kerana pelarian tidak mempunyai peluang dan cara lain untuk mereka bertemu doktor bagi mendapatkan rawatan dan menerima ubat diperlukan.

“Disebabkan itu, ramai kalangan pelarian khususnya kanak-kanak dan orang tua menghidap pelbagai penyakit kronik,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Menurut Isfadiah, pelarian Yaman itu terpaksa reda dan pasrah untuk menerima takdir kematian kerana mereka tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan kekangan kewangan dan ketiadaan fasiliti kesihatan serta perubatan.

“Ketika kami mengadakan program klinik bergerak di sebuah kem pelarian Yaman di Marib, kami telah diserbu para pelarian yang hendak mendapatkan rawatan.

Seorang ahli Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman melayani kanak-kanak di kem pelarian Yaman.

“Angka kehadiran mereka melebihi keperluan perubatan yang kami mampu berikan. Ramai yang menangis, merintih dan merayu agar mereka diberi peluang untuk mendapatkan rawatan.

“Mereka sanggup menunggu di tengah panas demi mendapatkan rawatan kesihatan dan apa yang menyedihkan, ada kalangan mereka tidak terpilih untuk mendapatkan rawatan kerana kami terpaksa mengehadkan bilangan disebabkan jumlah mereka terlalu ramai,” ujar beliau.

Namun, pihaknya cuba sedaya upaya dengan kekangan yang ada untuk memberi peluang kepada semua yang hadir bertemu dengan doktor dan menerima ubat.

“Bukan sahaja orang tua, malah anak kecil dan bayi berebut mahu mendapatkan rawatan. Inilah realiti yang sedang berlaku dalam negara Yaman yang ramai tidak tahu.

“Mereka terdesak untuk meneruskan kehidupan, mereka menjadi pelarian dalam negara sendiri.

“Justeru, Malaysia harus turut membantu atas dasar tanggungjawab kemanusiaan. Malah, agama kita mengajar untuk memberi tanpa menghakimi atau prejudis,” katanya. – MalaysiaGazette