Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menerima sijil Malaysia Book Of Records daripada Perunding Rekod Kanan Malaysia Book of Records, Edwin Yeoh Tiong Chin pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records 'Penyertaan Terbesar Dalam Acara X-Break Secara Virtual' di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Aktiviti regangan ringkas atau X-Break akan diaktifkan semula di Kementerian Kesihatan (KKM), kata Dr Zaliha Mustafa.

Menteri Kesihatan berkata, aktiviti itu disarankan untuk dilakukan apabila sesorang duduk untuk tempoh dua jam atau lebih bagi mengelak peningkatan risiko sakit jantung.

“la merupakan salah satu inisiatif bagi mengelak budaya sedentarisme dalam kalangan rakyat selain meningkatkan imuniti badan. Hasil dapatan Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati dua daripada tiga remaja mengamalkan aktiviti sedentari iaitu duduk dalam jangka masa yang lama dan empat daripada lima remaja adalah tidak aktif secara fizikal.

“Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO 2018) mendapati duduk terlalu lama dapat meningkatkan risiko sakit jantung, kematian pra matang, diabetes dan hipertensi,” katanya dalam ucapan majlis pengiktirafan Malaysia Book of Records sempena penyertaan terbesar dalam acara X-Break secara maya di KKM hari ini.

Acara itu diadakan sempena Himpunan Virtual HePiLI – Kami Nak Hidup Sihat pada 6 Jun 2023 sempena Sambutan Minggu Sihat HePiLI (Program Promosi Kesihatan di Institusi Pendidikan atau Health Promotion In Learning Institutions) 2023 Peringkat Kebangsaan.

Sijil Malaysia Book Of Records ‘Penyertaan Terbesar Dalam Acara X-Break Secara Virtual’ yang diterima oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 OGOS 2023.

Seramai 1,005,023 warga institusi pendidikan telah melakukan X-Break secara serentak melibatkan prasekolah/tabika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Dr Zaliha berkata, acara X-Break diwajibkan dalam semua program berstruktur KKM seperti dalam penganjuran persidangan, seminar, bengkel, latihan dan sebarang bentuk aktiviti berkumpulan melebihi dua jam kecuali mesyuarat dan perbincangan.

“Justeru saya mohon semua pihak pengurusan tertinggi, ketua jabatan dan ketua sektor untuk memastikan perkara diambil tindakan yang sewajarnya.

“Perkara ini juga boleh dikuti oleh kementerian dan agensi lain dalam melaksanakan X-break di tempat masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette