Hee Sem (kanan) dan Dr Rusdi melihat longgokan tayar terpakai di sebuah bengkel tayar sehingga menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes dalam Ops Tayar di Paya Rumput, Melaka, hari ini.

MELAKA – Padah membiarkan longgokan tayar terpakai menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes, lima pengusahanya dikompaun RM2,500 dalam satu operasi khas di sini hari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, operasi melibatkan premis di kawasan wabak berulang dan berpotensi menyumbang kepada peningkatan wabak denggi di seluruh negeri khususnya sekitar Melaka Tengah.

“Antara dikompaun adalah sebuah kedai tayar di Paya Rumput yang membiak puluhan jentik-jentik daripada tayar terpakai terbiar di kawasan terbuka bersebelahan kedai sehingga menjadi sarang nyamuk Aedes.

“Alasan diberikan adalah pembeli tayar terpakai tidak dapat memindahkan kesemua tayar itu ke tempat lain namun mereka sepatutnya mencari jalan penyelesaian lain dan bukannya membahayakan keselamatan masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Ops Khas Penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975: Ops Tayar di Paya Rumput di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Hee Sem (kanan) dan Dr Rusdi menunjukkan sampel jentik-jentik yang diambil dari takungan air dalam tayar terpakai yang dilonggokkan sebuah bengkel tayar sehingga menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes dalam Ops Tayar di Paya Rumput, Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, turut dikenakan tindakan sama atas kesalahan serupa adalah empat lagi kedai tayar di Jalan Laksamana Cheng Ho, Taman Teknologi Cheng (dua kes) dan Taman Semabok Perdana.

“Selain setiap syarikat dikenakan kompaun RM500, mereka juga diberi tempoh selama dua hari untuk membersihkan sarang Aedes itu atau berdepan tindakan diarah tutup selama seminggu.

“Sebenarnya, masalah longgokan tayar terpakai ini adalah antara penyumbang kepada peningkatan kes demam denggi di negeri ini yang perlu dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, arahan penutupan premis boleh dilakukan di bawah Seksyen 8(3)(aa) APSPP 1975 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun. – MalaysiaGazette